Malaysia Dateline

NGO Titian Kaseh jelajah 100km santuni gelandangan

Tanpa mengambil kira penat dan lelah, NGO Titian Qaseh dari Baling, Kedah sanggup menjelajah sejauh hampir 100 kilometer, bagi menyantuni gelandangan di sekitar Georgetown, Pulau Pinang semalam.

Mereka yang terdiri dari pelbagai usia seawal belasan tahun sehinggalah ke warga emas berhempas pulas menyantuni pelbagai golongan gelandangan menjelang lebaran yang begitu hampir.

Sukarelawan Titian Qaseh yang terdiri dari pelbagai usia turut turun padang menyantuni gelandangan sehingga jam 4 pagi.

Menurut penaungnya, Ayob Abdul Rahman, mereka mengambil inisiatif untuk menyantuni gelandangan sebagai rasa tanggungjawab membantu mereka yang memerlukan.

“Kami menyantuni semua bangsa dan keturunan serta agama yang gelandangan di sekitar Georgetown.

“Lebih 80 gelandangan disantuni seawal jam 11 malam sehinggalah ke jam 4 pagi dengan pelbagai bentuk sumbangan dihulurkan.

“Antara sumbangan yang diberikan berupakan pakaian menjelang lebaran serta juga makanan, ” ujarnya ketika ditemui.

Malah kata beliau lagi, dana yang digunakan bagi membeli barangan sumbangan adalah hasil wang yang dikumpul sesama ahli.

“Setelah berjaya mengumpul wang yang mencukupi bagi menyantuni golongan gelandangan dan juga miskin tersebut, kami tidak menanti lebih lama.

“Dengan kenderaan sendiri kami bergerak dari pelbagai kawasan termasuk dari Kedah, Gerik dan juga Pulau Pinang dan berkumpul di Padang Kota, ” katanya.

:”Secara tidak langsung usaha ini mendedahkan kepada ahli dan sukarelawan Titian Qaseh, khususnya yang masih belasan tahun untuk mendekati golongan gelandangan dan miskin secara dekat, ” tegasnya.

Sukarelawan Titian Qaseh menyantuni gelandangan di sekitar Masjid Kapitan Keling, Georgetown, semalam.

Beliau juga berkata, turun padang mendekati golongan yang memerlukan tersebut telah menjadi rutin bagi NGO Titian Qaseh.

“Kami bukan saja menyantuni masyarakat Melayu, tetapi juga masyarakat Cina, India dan Siam yang memerlukan sebaik sahaja mendapat maklumat mengenai kesukaran hidup mereka.

“Menjelang Aidilfitri yang begitu hampir, adalah diharapkan disamping membantu kerajaan maka tanggungjawab menyantuni mereka yang memerlukan mesti juga diberi perhatian oleh masyarakat sekeliling dan NGO yang ada.

“Ia bukan saja berjaya mendidik sukarelawan untuk berani turun padang walaupun sehingga ke tengah malam dan awal pagi, tetapi juga mengajar mereka untuk sanggup menerima realiti kehidupan membantu mereka yang amat memerlukan di mana sahaja, ” tambah beliau.