NGO Tuntut kesal penganjur himpunan aman dikenakan tindakan

NGO Tuntut kesal penganjur himpunan aman dikenakan tindakan

Pertubuhan Gerakan Tuntut Malaysia (Tuntut) melahirkan rasa kesal apabila penganjur sidang media di pekarangan Masjid Negara, Jumaat lalu cuba dikenakan tindakan di bawah Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

Pengerusinya, A’zlan Abu Bakar menegaskan, tindakan itu tidak wajar kerana pihaknya tidak melakukan sebarang perhimpunan sebaliknya ia sekadar sidang media berhubung Jelajah Tuntut Kebenaran.

“Ahad lalu, saya telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk diambil keterangan berhubung sidang media Jelajah Tuntut Kebenaran di Masjid Negara Kuala Lumpur pada 26 Julai lalu.

“Sebagai pengerusi Gerakan Tuntut Malaysia, saya telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis berhubung sidang media berkenaan.

“Bagaimanapun saya mempersoalkan tindakan pihak polis itu sedangkan NGO kami tidak melakukan sebarang perhimpunan aman dan hanya melakukan sidang media,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, seperti dipetik MG.

Jumaat lalu, Tuntut mendesak Peguam Negara, Tommy Thomas segera melakukan pendakwaan terhadap tiga kes utama negara.

Antara tiga kes utama yang didakwa wujudnya campur tangan dan pengaruh politik ialah kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Manakala dua lagi adalah kes rogol seorang pembantu rumah warga Indonesia oleh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak serta video semburit mirip Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.