NGO Wanita Islam mampu kedepan dengan usaha sendiri

NGO Wanita Islam mampu kedepan dengan usaha sendiri

Menyedari permasalahan utama badan bukan kerajaan (Ngo) Wanita Islam dalam negara, Majlis Perundangan Wanita Rahmah (MAWAR) meminta supaya setiap organisasi mula bekerja keras dan tidak lagi meletak sepenuh kebergantungan terhadap kerajaan.

Naib Pengerusinya, Senator Raj Munni Sabu @ Aiman Athirah Al Jundi, berkata persepsi sesetengah ngo yang melihat peruntukan dana kerajaan sebagai ‘wajib diperoleh’ dalam menjayakan sesuatu program, merupakan masalah utama yang perlu ditangani.

Membincangkan topik ‘Transformasi Minda Wanita: Membina Malaysia Negara Rahmah’, beliau berkata, setiap organisasi perlu berusaha mengubah sikap untuk tidak lagi bergantung pada kerajaan terutama dalam usaha memperoleh dana.

“Satu masalah utama kita adalah kebergantungan semua badan ngo terhadap kerajaan. Sekarang ni ia seolah-olah perkara wajib (meminta dana kerajaan) dan mereka seperti tak boleh cari dana sendiri.

“Kita perlu mencontohi negara luar seperti di Amerika yang mana ngo mereka boleh mencari dana sendiri dan bergerak menggunakan dana dari usaha mereka.

“Jadi, apa transformasi minda yang para ngo kena buat ialah lahirkan satu inisiatif bagaimana untuk mencari dana sendiri bagi memastikan organisasi dapat terus menyumbang pada pembangunan masyarakat dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika Majlis Dialog Rahmah ‘Majlis Muafakat Mawar Yadim bersama Ngo Wanita Islam’ di Bangi Convention Centre pada Rabu.

Timbalan Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) itu turut berkata, bagi mentransformasi minda wanita demi membentuk negara rahmah, ia perlu bermula dengan mengubah fikiran negatif kepada yang lebih positif.

Jelasnya, Mawar sebagai pendakwah di bawah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) perlu memperbetulkan persepsi terhadap rakyat dengan tidak meganggap mereka sebagai kurang ilmu atau tidak cukup Islam untuk dibantu.

Beliau turut menegaskan supaya setiap ngo tidak bergerak mengikut ‘nafsu’ semata-mata.

“Saya nasihatkan ngo supaya tak bergerak mengikut ‘nafsu-nafsi’. Dalam islam memang ada konsep Fastabiqul Khairat iaitu berlumba-lumba membuat kebaikan.

“Tetapi dalam konteks kita yang tak ramai, sebab ngo kadangkala ahlinya cuma 12 orang sahaja, jadi kita perlu agihkan tugas dengan khusus.

“Kita ada 32 Juta penduduk, jadi bila kita nak sentuh sasaran yang ramai untuk memberi impak dakwah berkesan, jumlah ngo dan tenaga sumber yang sedikit itu mesti diurus dengan baik.

“Memandangkan ngo Islam telah duduk bernaung dibawah Mawar, kita akan segregasikan dan agihkan tugas yang khusus. Maknanya kalau mereka sudah buat program dikawasan sasaran, ngo lain jangan pula buat pertindihan program di kawasan yang sama,” ujarnya.