‘Niat nak hebahkan tapi status dimuat naik disalahtafsir’

‘Niat nak hebahkan tapi status dimuat naik disalahtafsir’

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching hari ini memohon maaf kerana berkongsi satu kajiselidik mengenai pandangan Mata Pelajaran Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan yang sedang dilaksanakan oleh kementerian di laman Facebooknya pada Isnin.

Beliau melahirkan rasa kekesalan kerana status yang dimuat naik itu telah disalah tafsirkan.

“Saya amat kesal kerana niat saya untuk menghebahkan usaha Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) telah disalah tafsirkan.

” Untuk pengetahuan semua, Pasukan Petugas Khas Pendidikan Islam (PPKPI) telah ditubuhkan di bawah MPPK Kementerian Pendidikan Malaysia dipimpin oleh Tan Sri Wan Mohd Zahid Mohd Noordin yang juga merupakan mantan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia. Keahlian MPPK ini telah dilantik sendiri oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

“MPPK merupakan satu badan bebas yang ditubuhkan bagi mengkaji Dasar Pendidikan Negara tanpa campur tangan politik. Penubuhan MPPK, sebagai satu jawatankuasa yang bersifat profesional berperanan untuk menasihati Menteri Pendidikan.

“Saya amat sedih kerana objektif penubuhan PPKPI yang sepatutnya dipuji kerana mereka didalam usaha untuk menambahbaik modul Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan telah dipolitikkan.

” Tuduhan bahawa saya cuba untuk mencampuri urusan Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan adalah tidak berasas sama sekali dan secara tidak langsung merupakan satu fitnah yang menjejaskan kredibiliti MPPK.

“Sebagai Timbalan Menteri Pendidikan, saya akan sentiasa menyokong inisiatif YB Menteri Pendidikan untuk memajukan sistem pendidikan negara.

“Walau bagaimanapun, saya dengan rendah hati memohon maaf kepada MPPK di atas segala salah faham yang tidak diingini ini,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Baca: Dakwaan pemimpin Pas

Beliau merujuk kepada dakwaan pemimpin Pas,  Ahli Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang mahu Kementerian Pendidikan mendedahkan keanggotaan Pasukan Petugas Khas Pendidikan Islam (PPKPI) dan menjelaskan sama ada penglibatan orang bukan Islam dalam kajian tinjauan dalam talian yang ditubuhkan dalam usaha menambahbaik mata pelajaran Pendidikan Islam di Sekolah Rendah Kebangsaan.

Ini susulan hantaran yang dimuatnaik oleh Timbalan Menteri Pendiidkan Teo Nie Ching di laman facebooknya dan maklumat kemudiannya dipadamkaan tetapi ia masih terdapat di laman sesawang kementerian pendidikan itu. Mohd Khairuddin mempersoalkan mengapa  Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sendiri tidak mengumumkannya berkaitan kajiselidik itu.