Malaysia Dateline

Nicky Liow bukan lagi ‘Datuk Seri’, ‘Datuk’ Liow Wei Loon ditarik balik

Anugerah Darjah Kebesaran Negeri Pahang kepada ahli perniagaan, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee dan Datuk Liow Wei Loon, ditarik balik dan dibatalkan serta-merta.

Untuk rekod, Nicky, 33, yang disyaki terlibat dengan aktiviti jenayah terancang antarabangsa dan pengubahan wang haram masih dalam buruan polis.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang merangkap Pendaftar Darjah, Datuk Seri Sallehuddin Ishak berkata, keputusan itu atas titah Yang di-Pertuan Agong selaku Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Penarikan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada Liow Soon Hee dan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk kepada Liow Wei Loon, berkuat kuasa dari pada 21 April 2021 melalui satu kenyataan yang keluarkan oleh Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak pada 26 April 2021.

Awal bulan ini seramai 14 ahli ‘Geng Nicky’ termasuk Liow Wei Loon, adik kepada pengasas Winner Dynasty Group, Nicky Liow Soon Hee, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.

Nicky sebelum ini dilapor meloloskan diri selepas mendapat maklumat berhubung operasi yang bakal dibuat pada 20 Mac daripada pegawai dan anggota polis serta agensi penguat kuasa lain yang berada dalam kawalannya, termasuk seorang bekas timbalan pendakwa raya.

Dalam operasi tersebut, seramai 118 individu ditahan menerusi 70 serbuan dalam Operasi Pelican 3.0 yang dilakukan bagi mengesan dan menahan anggota kumpulan.