Malaysia Dateline

Nicol tersingkir awal

Perjalanan ratu skuasy negara, Datuk Nicol David pada Kejohanan Terbuka Hong Kong berakhir seawal pusingan kedua selepas tewas mengejut di tangan pemain England, Millie Tomlinson, hari ini.

Nicol, selaku pemain pilihan ke-11, tewas set pertama namun bangkit untuk menang dua set berikutnya tetapi ia tidak mampu menghalang Millie untuk meraih dua set terakhir untuk perlawanan berkesudahan 12-10, 0-11, 8-11, 11-7, 11-6 dalam tempoh 49 minit.

Nicol, bekas pemain nombor satu dunia dan juara 11 kali kejohanan itu, mendapat ‘bye’ pada pusingan pertama kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai US$164,500 (RM689,148).

Millie akan berdepan tugas getir untuk mara ke suku akhir apabila bertemu pemain nombor empat dunia, Camille Serme dari Perancis pada pusingan ketiga esok.

Sebelum itu, Camille dengan mudah melangkah ke pusingan ketiga dengan menundukkan pemain veteran Australia, Rachael Grinham, 11-4, 11-5, 11-0.

Sementara itu dalam kategori lelaki, Ng Eain Yow, yang menjadi pemain tunggal negara masih beraksi dalam kejohanan itu, akan memburu slot suku akhir dengan menentang pemain pilihan ketujuh dari Mesir, Mohamed Abouelghar, pada pusingan ketiga esok.

— BERNAMA