Malaysia Dateline

Nie Ching nafi ubah subjek Sejarah guna NGO Cina

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching menegaskan dakwaan kononnya beliau merancang untuk mengubah subjek Sejarah sekolah rendah dan sekolah menengah dengan menggunakan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) masyarakat Cina sebagai palsu dan tidak berasas sama sekali.

Menurutnya, laporan sebuah portal yang kemudiannya tular di media sosial itu merupakan satu tindakan yang amat tidak bertanggungjawab dan cuba mempermainkan sentimen perkauman.

“Saya menyangkal berita tersebut sekeras-kerasnya dan memberi amaran agar pihak tersebut menarik balik menggugurkan berita tersebut serta-merta.

“Sekiranya tidak, saya tidak akan teragak-agak untuk mempertimbangkan tindakan undang-undang kerana laporan
sedemikian cuba memburukkan diri saya dan juga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” dipetik dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semakan semula bagi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) telah bermula pada 2017 di mana KPM telah menambah baik kurikulum sedia ada untuk semua mata pelajaran.

Jelasnya, Jawatankuasa Panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan Buku Teks telah dibentuk pada tahun tersebut iaitu sebelum pelantikan beliau sebagai Timbalan Menteri Pendidikan berkuat kuasa 2 Julai lalu manakala KSSR (Semakan 2017) Buku Teks Sejarah bagi Tahun 4 pula telah selesai pada tahun lalu.

“Justeru, adalah mustahil bagi saya untuk campur tangan terhadap penggubalan dan semakan semula kurikulum Sejarah apatah lagi melantik mana-mana Team DAP atau NGO Cina untuk memasukkan input berkaitan dengan sejarah DAP.

“Sehubungan itu, sebarang mesyuarat yang diadakan antara mana-mana NGO dan Jawatankuasa tersebut hanya sekadar memberi cadangan terhadap kurikulum Sejarah bagi KSSR (Semakan) dan KSSM,” katanya.

Ahli Parlimen Kulai berkenaan juga menegaskan dirinya sendiri tidak hadir dalam pertemuan yang dimaksudkan antara NGO dan Jawatankuasa tersebut.

“Saya yakin dan percaya dengan kebijaksanaan dan kewibawaan Jawatankuasa Panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan Buku Teks dan ahli-ahli panelnya yang profesional dalam membuat keputusan yang sewajarnya berkenaan dengan penggubalan dan penambahbaikan kurikulum Sejarah.

“Oleh itu, sementara saya menghormati kebebasan bersuara yang didukung oleh Kerajaan yang baharu, saya menasihatkan orang ramai tidak menular dan menyebarkan kenyataan-kenyataan atau laporan-laporan yang tidak berasas dan yang berunsur fitnah,” tambahnya lagi.