Nik Abduh anggap suara Islam PH ‘zahir hanyalah tipu daya’

Nik Abduh anggap suara Islam PH ‘zahir hanyalah tipu daya’

Pemimpin Pas Nik Mohamad Abduh Nik Aziz menganggap hanya partinya sahaja adalah “nafas kepada perjuangan menegakkan Islam di Malaysia” bukannya Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai PKR, AMANAH, Bersatu dan DAP.

Ahli Parlimen Bachok itu berkata, politik negara ini tanpa Pas akan kosong daripada laungan ‘Allahu akbar’ memandangkan “suara Islam di dalam PH adalah suara di tempat ketiga.”

“Tiada parti politik yang istiqamah berjuang untuk menegakkan agama Islam seperti Pas. Justeru, tiada siapa pun mampu menolak bahawa Pas terlalu banyak menyumbang kepada pembinaan negara Malaysia sejak dari awal penubuhan negara lagi.

“Kini PH dengan tiga suara. Pertama adalah suara liberal totok. Kedua adalah suara liberal yang lebih manis. Ketiga adalah suara Islam yang mesra liberal. Ini adalah istilah mudah yang saya sebut untuk pemahaman seterusnya nanti,” katanya dipetik dari Harakahdaily hari ini.

Nik Abduh menegaskan kedudukan Islam yang bukan di tempat pertama dalam PH merupakan hakikat yang diperhatikan walaupun pada zahirnya, kesemua parti-parti di dalam PH adalah setaraf.

“Ya, parti-parti adalah setaraf, tetapi ideologi perjuangan adalah bertingkat-tingkat tangganya. Hakikat akan menjelma di hadapan mereka yang berfikir dan matang. Zahir hanyalah tipu daya,” katanya.

Lebih mengejutkan apabila Nik Abduh mendakwa Pas pernah dipaksakan dengan situasi peminggiran Islam seperti itu sewaktu berada dalam Pakatan Rakyat sebelum ini.

“Pas menolak kerana ia akan meminggirkan Islam daripada ditegakkan. Apabila Islam terpinggir, maka ia adalah kemenangan dan kuasa yang rapuh yang pasti membawa kesan buruk terhadap kemajuan Islam di dalam mencorak pembangunan dan masa depan negara.

“Hari ini, selepas berlalu PRU14, Pas kekal sebagaimana dahulu. Pas akan menjadi suara Islam di dalam arus politik negara. Perjuangan Pas adalah untuk Islam yang benar.

“Benar dalam erti Islam sebagai satu cara hidup yang sempurna, sederhana, adil, maju dan segala makna yang membawa maksud kesejahteraan untuk manusia di dunia dan akhirat,” tambah Nik Abduh lagi.