Berkongsikan kejayaan anaknya menghafal al-Quran, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz mengakui terharu dengan pencapaian Nik Abdul Mun’im.
Nik Abduh berkata demikian susulan majlis khatam al-Quran disertai anak remajanya itu di Maahad Tahfiz al Nur, Setiu pagi semalam.
“Kejutan daripada anakanda Nik Abdul Mun’im sempena hari lahir umminya hari ini. Berhabuk pulak mata mak ayah dia pagi ni. Pandai pulak anak-anak sekarang buat kejutan.
“Tu sebab tak nak bagitahu dah berapa juzuk dah khatam sekarang.
“Alhamdulillah, anakanda kami berjaya menyempurnakan hafazan al Quran dan mengadakan majlis khatam bersama kawan-kawannya di Maahad Tahfiz al Nur, Setiu pagi ini (semalam),” katanya dalam hantaran di Facebook.
Nik Abduh yang juga anak kepada Mursyidul Am Pas, Almarhum Datuk Nik Aziz Nik Mat berharap Nik Abdul Mun’im dan rakan-rakan anaknya berjaya di dunia dan akhirat.
Dalam masa sama, Nik Abduh yang juga Ahli Parlimen Bachok itu mengingatkan bahawa anak-anak sebagai amanah Allah perlu didedahkan dengan didikan Islam yang benar.
“Tahniah buat anakanda dan semua anak-anak ayah dan ummi. Juga buat kawan-kawannya dan anak-anak kita semua. Semoga berjaya di dunia dan akhirat. Anak-anak adalah amanah Allah.
“Mereka juga adalah aset besar untuk akhirat kita semua nanti. Didik mereka dengan didikan Islam yang benar,” katanya.
Dia yang pernah mengundang pertikaian kalangan warganet apabila menulis, “selamat dari makar dan tipu daya Allah” itu juga mengucapkan penghargaan kepada Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat, Dr Riduan Mohd Nor.
“Terima kasih dan jazakumullahu khairan buat seluruh para guru, khususnya buat sahabat saya, Dr Riduan Mohd Nor yang telah berjaya membangunkan Maahad Tahfiz An Nur dengan jayanya,” tambah Nik Abduh lagi.