Nik Abduh dan 3 lagi dipanggil SPRM hari ini

Nik Abduh dan 3 lagi dipanggil SPRM hari ini

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz dipanggil memberikan keterangan oleh Suruhanjaya Perncegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Laporan Berita Harian hari ini bahawa Nik Abduh dipanggil SPRM untuk memberikan keterangan.

Menurut Berita Harian, ahli parlimen Pasir Mas itu dijangka akan memberikan keterangan kepada SPRM di Kota Bharu.

Selain beliau, tiga lagi pemimpin Pas dipanggil untuk memberikan keterangan berhubung dengan dakwaan menerima wang 1MDB dari Umno.

Nik Abduh dianggap saksi penting dalam kes penerima wang dari Umno oleh Pas selepas beliau membuat pengakuan hampir kesemua pemimpin Pas termasuk Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan beliau sendiri menerima wang dari Umno.

Audio rakaman pengakuan beliau itu tular dalam media sosial dan kini disahkan oleh seorang pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bahawa beliau antara 40 saksi yang berada dalam majlis pengakuan Nik Abduh itu.

Pendedahan ini dibuat selepas Abdul Hadi menarik balik samannya terhadap Sarawak Report yang mendakwa pemimpin Pas menerima kira-kira RM90 juta wang dari Umno.

Tindakan sesetengah pihak dalam Pas menerima wang dari Umno dan berusaha mendekatkan parti itu dengan Umno telah menjadi antara punca perpecahan dalam Pas sehingga melahirkan AMANAH.

Dua hari lepas, Pakatan Harapan (PH) kawasan Bachok  telah membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Bachok itu atas dakwaan penglibatannya dalam skandal penerimaan RM90 juta sebagaimana dilaporkan Sarawak Report.

“Dakwaan ini menjadi semakin kuat apabila Pas bertindak menarik balik saman fitnah yang dikemukakan oleh mereka terhadap Sarawak Report ,” kata Pengerusi PH Bachok Zullkifli Zakaria selepas menyerahkan laporan polis di IPD Bachok pagi tadi.

“Adalah dipercayai pihak peguam yang dilantik oleh Pas sendiri telah mendapat pengesahan audio itu benar-benar milik Nik Abduh melalui ujian yang dijalankan oleh sebuah makmal forensik di London,” katanya.