Nik Abduh dinasihat fokus saman Sarawak Report

Nik Abduh dinasihat fokus saman Sarawak Report

Penasihat Undang-undang Amanah, Hanipa Maidin menggesa Nik Abduh Nik Aziz memberi fokus untuk menyaman laman web berita Sarawak Report berbanding Amanah ekoran penganjuran seminar mengenai Almarhum ayah Ketua Pemuda Pas itu.

 

Hanipa MaidinPenasihat Undang-undang Amanah, Hanipa Maidin menggesa Nik Abduh Nik Aziz memberi fokus untuk menyaman laman web berita Sarawak Report berbanding Amanah ekoran penganjuran seminar mengenai Almarhum ayah Ketua Pemuda Pas itu.

Menurutnya, laporan polis dan hasrat ingin mengenakan tindakan undang-undang itu tidak lebih daripada hanya satu ‘gempak politik’.

“Mengadakan seminar mengenai Tok Guru (Nik Aziz) adalah satu kebebasan bersuara dan berekspresi yang dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Nasihat saya kepada Ahli Parlimen Pasir Mas (Nik Abduh), berilah tumpuan untuk menyaman Sarawak Report dan berubahlah jadi macam Almarhum ayah yang terus lawan Umno sampai mati,” ujarnya.

Sarawak Report pada 11 Februari lalu mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa Pas telah memulakan tindakan undang-undang terhadapnya ekoran dakwaan pimpinan tinggi parti itu menerima RM90 juta daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Walhal, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 16 September 2016 memberitahu media partinya di peringkat akhir persediaan prosiding saman terhadap laman web itu dengan barisan peguam diketuai Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.

Mengulas lanjut, Hanipa berkata, bukan kerja polis untuk menyiasat apabila melibatkan hak dan kebebasan dalam Perlembagaan serta bukan kerja Nik Abduh sebagai Ahli Parlimen hendak menyaman.

“Adakah Amanah telah melakukan jenayah kerana ingin menganjurkan seminar mengenai Almarhum sehingga satu laporan polis perlu dibuat untuk meminta polis menyiasat perkara tersebut?

“Dengan penuh hormat kepada keluarga Almarhum Tuan Guru tersebut, bagi saya tindakan Amanah untuk mengadakan seminar mengenai Almarhum bukanlah satu jenayah.

“Ia juga bukan satu kesalahan dari segi undang-undang yang membolehkan Amanah disaman,” tegas peguam itu dipetik dari artikelnya di akhbar mingguan Amanah Edisi 45, 2-8 April.

Hanipa turut menyifatkan tindakan Nik Abduh secara tidak langsung mempromosi secara percuma seminar yang dijadualkan pada 9 April ini.

“Jika ramai yang akan hadir dalam seminar itu nanti, Amanah perlu mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Pasir Mas yang baru sahaja tewas dengan teruk dalam pemilihan parti di Pengkalan Chepa,” tambahnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Seminar Pemikiran Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat anjuran Amanah akan tetap diteruskan pada 9 April ini.

Antara pembentang kertas kerja termasuk Penasihat Umum Amanah, Ustaz Ahmad Awang; Ahli Jawatankuasa Eksekutif DAP, Liew Chin Tong dan Penyelidik di Anwar Ibrahim Research Institute (AIRI) Ustaz Wan Ji Wan Husin.

Menurut Setiausaha Agung, Mohd Anuar Tahir, seminar tersebut bukan sekadar mengenang Almarhum bahkan membincangkan keberkesanan pentadbiran beliau di Kelantan selama lebih dua dekad serta pada masa sama sebagai pemimpin Pas yang disegani dan dihormati kawan dan lawan.

TAGS