Malaysia Dateline

Nik Abduh Nik Abdul Aziz

Nik Abduh nasihat jauhi kedekut, warganet sindir ‘derma’ air bersih di Kelantan

Walaupun dilihat teruk dikecam warganet minggu lalu berhubung sumbangan kemanusiaan buat rakyat Palestin menerusi akaun bank Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz masih terus bersuara hari ini.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu berkata, sifat menderma walaupun secubit kurma akan memadam kemurkaan Allah.

“Jauhi sifat kedekut. Kita tak terlawan kedekut neraka nanti. Setitis air pun tidak akan diberinya kala penghuninya menjerit meminta-minta kehausan.

“Teruslah menderma walau secubit tamar. Ia akan memadam murka Allah,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Namun, rata-rata lebih 100 komen dengan lebih 120 perkongsian itu mencemuh Ahli Parlimen Bachok berkenaan termasuk menyindir perlunya derma disalurkan bagi keperluan bekalan air bersih di Kelantan.

“Kedekut dengan rakyat negeri sendiri kira macam mana pula? Tengok dulu negeri kau tu,” sergah Amiruzat Rahim.

Pengguna Facebook Matahati Agk pula berkata, pemimpin-pemimpin Kelantan perlu mengutamakan ‘derma’ terhadap rakyat negeri itu terlebih dahulu.

“Sebelum derma jauh ke Palestin sana, harap-harap pemimpin-pemimpin negeri Kelantan dapatlah bersama- sama ‘menderma’ bekalan air bersih pada rakyat negeri,” sinisnya.

Tidak kurang juga yang mencabar agar Nik Abduh menyumbangkan pendapatannya jika benar-benar tidak tangkai jering.

“Kalau tak kedekut, potong gaji awak setahun, derma dekat orang yang memerlukan,” tempelak Noor Hisyam.

Bahkan, ada yang berharap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah turut memberikan sumbangan untuk rakyat Palestin.

“Potong gaji Duta Timur Tengah bergaji menteri tu,” ulas Mohd Shamsul.