Nik Abduh ucap tahniah kepada Nasrudin kerana tidak mohon maaf

Nik Abduh ucap tahniah kepada Nasrudin kerana tidak mohon maaf

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Walaupun perlu membayar RM10,000 kos mahkamah dan diarah menarik balik kenyataan bahawa tiada tender terbuka dilaksanakan kerajaan negeri Pulau Pinang dalam projek terowong dasar laut, Nasrudin Hassan tetap menerima ucapan tahniah daripada Ketua Pemuda PAS Pusat.

Dalam satu kenyataan media, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mengucapkan tahniah kepada Ketua Penerangan PAS Pusat itu kerana bertegas mempertahankan artikel yang telah mengheret beliau ke mahkamah.

“YB Ustaz Nasrudin bertegas tidak memohon maaf dan tidak akan menarik balik artikelnya yang mengkritik keras ketelusan pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Untuk penyelesaian itu, YB Ustaz bersetuju menarik balik beberapa butiran daripada artikelnya yang menimbulkan salah faham,” kata Nik Abduh.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada kedua belah pihak yang bersedia untuk tidak memanjangkan isu itu dan mengharapkan Nasrudin terus memimpin umat mendaulatkan Islam.

“Saya bangga bersahabat lama dengan beliau di jalan Allah,” ujarnya.

Kes saman Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng terhadap Nasrudin berhubung fitnah mengenai projek pembinaan terowong dasar laut selesai semalam selepas Nasrudin menarik balik kenyataannya terhadap Lim.

Pesuruhjaya Kehakiman Lim Chong Fong merekodkan penyelesaian kes tersebut dan membatalkan writ saman itu selepas Lim selaku plaintif dan defendan (Nasrudin) bersetuju untuk tidak memanjangkan isu tersebut.

Nasrudin ketika membacakan kenyataan dalam mahkamah berkata, “Setelah meneliti dokumen yang dikemukakan oleh mahkamah, saya berasa kesal kerana sebahagian artikel yang ditulis telah menyebabkan salah faham terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang”.

Nasrudin berkata oleh kerana kedua-dua pihak telah bersetuju untuk tidak memanjangkan isu tersebut, beliau akan menarik balik artikel dalam laman facebook miliknya pada 6 Ogos 2014 kerana mendapati ia tidak mempunyai asas ke atas Lim.

TAGS