Malaysia Dateline

Nik Amar salahkan ahli parti sebar fitnah tentang Pas

Naib Presiden Pas Datuk Nik Amar Abdullah menyalahkan ahli parti apabila menjadi agen menyebarkan fitnah pembangkang terhadap Pas dan pimpinannya.

Kata beliau, ahli parti sendiri yang menjadi punca tersebarnya fitnah tentang Pas melalui media sosial sama ada di Facebook atau di kumpulan Whatsapp.

“Benda yang salah dan fitnah kepada parti dan pimpinan, ahli parti yang tolong sebarkan, ahli parti bawa masuk group itu dan ini akhirnya tersebarlah,” katanya dalam satu tazkirah bersama ahli parti.

Apabila disoal kenapa dikongsi dalam media sosial, menurut Nik Amar ahli parti mahukan pencerahan.

“Bila orang persoal, cakap nak pencerahan…nak cerah gak suluh dengan lampulah.

“Sebab apa nak bawa masuk dalam kumpulan Whatsapp, inilah masalah dalam ahli parti sebab mahukan pencerahan,” kata beliau.

Malangnya menurut Timbalan Menteri Besar Kelantan itu, kenyataan daripada pimpinan parti atau Pas sendiri ahli parti pula tidak bertindak untuk berkongsi atau menyebar.

Katanya, ini termasuklah dalam beberapa isu yang melanda Kelantan seperti isu air dan isu kereta Mercedes.

“Kelantan banyak bagi jawapan termasuk bab air bab kereta. MB sudah jawab saya sendiri pun jawab, tetapi ahli kita tidak kutip tak bawa masuk dalam whatsapp group, duk heret yang (isu) orang lain.

“Ini masalahnya, saya cakap terang-terang sebab semua yang ada ni orang parti,” tegas beliau.

Beliau turut mempersoalkan berapa ramai ahli parti yang bertindak menyebar atau berkongsi tulisan Presiden Pas sendiri yang dimuat naik di media sosial.

“Presiden pun boleh kata tiap-tiap hari menulis kat facebook itulah jawapan dan pendirian kita dalam parti

“Tapi berapa orang yang baca, sebar, share?” soal beliau.

Beliau turut mengingatkan ahli parti membuang segala kritikan terhadap parti atau pimpinan yang boleh mengundang masalah kepada parti.