Nik Amar sifatkan penyertaan parti pembangkang lain hanya untuk kalahkan Pas

Nik Amar sifatkan penyertaan parti pembangkang lain hanya untuk kalahkan Pas

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Penyertaan parti pembangkang lain pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, Selangor adalah semata-mata untuk menumbangkan Pas dan bukannya Barisan Nasional (BN).

Merujuk hasrat Parti Amanah Negara (Amanah) untuk bertanding di kerusi itu, Naib Presiden Pas Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata ia menunjukkan parti pembangkang lain seperti tidak serius mahu merampas kerusi tersebut daripada tangan BN.

“Kalau kita sudah buat keputusan untuk bertanding, kalau ada parti-parti pembangkang lain yang bertanding mereka sebenarnya tidak serius untuk menumbangkan BN sebaliknya nak tumbangkan Pas,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

PRK Sungai Besar dan PRK Kuala Kangsar, Perak diadakan berikutan kematian anggota Parlimen bagi kedua-dua kerusi berkenaan iaitu Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar akan diadakan serentak pada 18 Jun ini, dengan penamaan calon pada 5 Jun.

Sebelum ini, Pengarah Pilihan Raya Pas Datuk Mustafa Ali mengumumkan parti itu akan meletakkan calon di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, kedua-dua kerusi yang secara tradisi ditandingi parti berkenaan.

Keputusan itu dikatakan muktamad walaupun PKR sehingga kini dikatakan masih cuba untuk berunding berkaitan calon dengan Pas bagi memberi ruang kepada Pakatan Harapan (PH) untuk bersemuka satu lawan satu dengan BN.

Amanah pula baru-baru ini telah menyatakan secara terbuka kesediaannya untuk mewakili PH untuk bertanding di kedua-dua kerusi Parlimen itu dengan menamakan Presidennya Mohamad Sabu sebagai antara calon parti itu bagi PRK Sungai Besar.

Selain itu, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub dan bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin juga disenaraikan sebagai calon PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata parti pembangkang sepatutnya menerima pendapat dikemukakan Tan Sri Muhammad Mohd Taib yang mencadangkan agar kerusi Parlimen diserahkan kepada Pas untuk ditandingi.

“Jadi kalau betul-betul kita serius nak menghadapi BN, mereka (parti pembangkang lain) sepatutnya menghormati pendirian PAS dan sokong (calon Pas),” katanya.

TAGS