Malaysia Dateline

Nik Aziz dan Hadi pernah perang dingin kerana kerajaan perpaduan, kata Tantawi

Buat pertama kalinya secara rasmi, seorang pemimpin kanan Pas mengesahkan bekas Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menentang kerajaan perpaduan yang dicadangkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sehingga menimbulkan ‘Pertembungan Dingin’.

“Krisis ini mewujudkan pertembungan dingin antara Tok Guru Hj Hadi (Ayah Chik) selaku Presiden Pas dengan Tok Guru Nik Aziz (Ayah Zik) selaku Mursyidul Am PAS pada masa itu.

“Selanjutnya Ayah Chik dituduh nak bawa Pas masuk Umno,” kata bekas Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan yang lebih dikenali sebagai Tantawi (pernah belajar di Tantar, Mesir).

Tantawi berkata demikian ketika menulis panjang (41 perkara) menerusi facebook beliau dalam kolum “Sekali serban dililit” semalam.

Menurut Tantawi, ketika itu, beliau mengambil sikap mempertahankan Hadi yang dipanggil sebagai “Ayah Chik” dalam Pas.

“Saya bermati-matian mempertahankan Ayah Chik. Saya tahu Ayah Chik benar. Kerana saya selalu ke Rusila untuk mendapatkan first hand maklumat dari Ayah Chik,” kata Tantawi.

Beliau menulis artikel panjang juga mengenai kerajaan perpaduan bagi menjelaskan apa maksud kerajaan perpaduan yang digagaskan oleh Ayah Chik.

Dalam masa yang sama, katanya, “tidak sedikit pun hilang hormat dan kasih sayang saya pada Ayah Zik (Tok Guru Nik Aziz).

“Kerana saya juga anak murid Ayah Zik. Saya menadah kitab di Pondok Pasir Tumbuh dan saya juga menadah kitab di Dewan Zul Kota Bharu pada zaman remaja. (Sebelum masuk pondok, saya menadah kitab di masjid Rusila terlebih dahulu dengan Ayah Chik),” kata Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiyyah (Yadim) itu.

Bagi Tantawi, sikap yang diambil oleh Nik Aziz menolak kerajaan perpaduan itu bukan pendiriannya sendiri tetapi dipengaruhi oleh pegawai di sekeliling beliau.

Beliau mengaku, Nik Aziz juga marah dengan anaknya Nik Mohamad Abduh (ahli Parlimen Pengkalan Chepa sekarang) ketika itu di samping Abdul Hadi.

“Saya sering ke Pulau Melaka mengunjungi Ayah Zik bagi mendamaikan keadaan.

“Tidak memadai bercakap, saya mengutus surat buat tatapan Ayah Zik bagi memurnikan persepsi Ayah Zik pada Ayah Chik dan juga pada sahabat saya seorang lagi, iaitu anaknya sendiri Ust Nik Abduh.

“Kerana pada waktu itu, saya dapat maklum bahawa Ayah Zik sedikit marah dan gusar dengan Ust Nik Abduh selepas Ust Nik Abduh menulis satu artikel panas yang bertajuk “KERJA-KERJA BODOH DALAM PAS”

“Artikel itu membidas “orang yang rapat” dengan Ayah Zik. Melalui surat itu saya menjelaskan kepada Ayah Zik perkara yang berlaku dengan cara dan gaya saya sendiri bagi memurnikan keadaan.

“Walaupun terpaksa berdepan dengan ayah sendiri, Ust. Nik Abduh turut bersama saya mempertahankan Ayah Chik dan aspirasi perjuangannya,” katanya.

PAS DAN UMNO JANGAN PISAHKAN

Tantawi mengaku, beliau dan Nik Abduh benar-benar mendukung agenda kerajaan perpaduan yang yang dibawa Hadi “bahkan sehingga kini kami terus konsisten dengan semangat perpaduan tersebut agar Pas dan Umno jangan dipisahkan dan kami sedia mendepani agent-agent pemecah perpaduan melayu Islam dalam negara ini.”

Menurut Tantawi, beliau bukan menentang Nik Aziz tetapi orang rapat Nik Aziz.

“Tentu sahaja perkara ini tidak mudah. Bukan sahaja mendepani “orang rapat” Ayah Zik pada waktu itu, termasuklah usaha memahamkan sebahagian ahli-ahli PAS yang melihat kami menentang Ayah Zik selaku Mursyid Am.

“Walhal pada waktu itu, kami bukan menentang Ayah Zik, bahkan kami menentang mereka yang “bergayut dijubah” Ayah Zik (Mursyid Am.)” kata Tantawi.

Katanya, “orang rapat” Ayah Zik tersebut mula merencana untuk bertanding Timbalan Presiden PAS dengan alasan PAS dibawah kepimpinan Ayah Chik sebagai presiden tiada hala tuju.

“Panjanglah kalau saya nak cerita satu persatu. Ringkasnya sampai lah Allah tunjuk kebenarannya dengan peristiwa 2015 apabila mereka secara team block masuk pemilihan muktamar untuk mengambil alih kepimpinan PAS.

“Akhirnya keseluruhan mereka tewas dan mereka semua keluar daripada Pas,” yang dipercayai ditujukan kepada peristiwa perpecahan dalam Pas sehingga tertubuhnya AMANAH selepas Muktamar Pas 2015.