Nik Aziz dan Karpal icon keharmonian dan toleransi, kata Lim Kit Siang

DAP hari ini mengajak rakyat Malaysia menjadikan Allahyarham Nik Aziz Nik Mat dan mendiang Karpal Singh sebagai ikon yang mempromosi kehidupan harmoni, toleransi merentas sempadan kaum, agama dan budaya.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata ikonik kedua-dua tokoh mampu menjadikan Malaysia sebagai negara model yang aman di dunia sekalipun memiliki rakyat berbilang kaum, agama dan budaya.

Bersempena  Hari Krismas hari ini dan sambutan Maulidur Rasul semalam, beliau berkata, rakyat Malaysia harus menunjukkan contoh kepada masyarakat dunia dengan memecah tembok kebencian, salah faham antara agama dan kaum, seterusnya membina jambatan persefahaman, harmoni dan toleransi.

“Saya teringat dua peristiwa. Pertama, kejadian orang Islam mempertahan orang Kristian apabila diserang pengganas Somali di Mandera, utara Kenya dengan mendesak pengganas membunuh mereka bersekali jika meneruskan serangan.

Kedua, kunjungan Nik Aziz pada sambutan Hari Thaipusan pada Januari 2013 manakala Karpal pula mengunjungi rumah Nik Aziz untuk sambutan ulang tahun kelahiran ke-82,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Nik Aziz adalah bekas Mursyidul Am PAS dan Menteri Besar Kelantan manakala Karpal Ahli Parlimen Bukit Gelugur. Kedua-duanya antara tokoh terkenal dalam parti masing-masing berikutan kelantangan mereka tetapi sentiasa dihormati kawan dan lawan di Malaysia.

“Biarlah Malaysia memberi sumbangan bermakna untuk keamanan dan tamadun manusia,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu.

TAGS