Malaysia Dateline

Nik Faisal arah tandatangan surat arahan pemindahan wang, kata Saksi

Bekas pengarah bukan eksekutif SRC International Sdn Bhd, Suboh Md Yassin hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi beliau menandatangani 3 surat arahan pemindahan wang berjumlah RM50 juta atas arahan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC, Nik Faisal Ariff Kamil.

Suboh, 68, berkata demikian ketika Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ishak Mohd Yusoff merujuk beliau kepada 3 surat arahan pemindahan wang melibatkan 3 transaksi perbankan iaitu RM40 juta, RM5 juta dan RM5 juta daripada SRC kepada Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd antara 24 Dis 2014 dan 6 Feb 2015.

Ishak: Kenapa kamu tandatangan surat arahan pemindahan wang itu?

Suboh: Saya diminta oleh Nik Faisal untuk tandatangan.

Ishak: Jadi kamu ikut sajalah?

Suboh: Ya, saya ikut kerana saya berpandukan kepada nasihat Nik Faisal.

Saksi ke-42 pendakwaan itu, yang menyambung keterangannya, turut memaklumkan beliau tidak pernah menyoal Nik Faisal berhubung perkara tersebut kerana Nik Faisal, selaku CEO, bertanggungjawab terhadap hal-hal kewangan dan pentadbiran.

“Jadi saya serah semuanya kepada dia,” kata Suboh pada hari ke-30 perbicaraan kes membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak berhubung penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Ditanya kenapa wang RM5 juta dipindahkan daripada Gandingan Mentari kepada Ihsan Perdana, beliau berkata: “Kononnya nak buat tanggungjawab sosial korporat.”

Sementara itu, Suboh turut menandatangani 2 Resolusi Pekeliling Pengarah (DCR) berhubung pelantikan Ihsan Perdana sebagai syarikat yang mengendalikan program tanggungjawab sosial korporat dan ratifikasi pembayaran oleh Gandingan Mentari kepada Ihsan Perdana bagi pihak SRC.

Suboh berkata beliau menandatangani 2 DCR berkenaan di Bangkok, Thailand, setelah diarahkan Nik Faisal.

“Dokumen ini (kedua-dua DCR) diberi kepada saya semasa saya berada di Bangkok. Nik Faisal ada menghubungi saya dan mengatakan bahawa dia ada urusan yang belum selesai berhubung tanggungjawab sosial korporat…bermakna ada dokumen yang perlu dilengkapkan.

“Jadi dia hantar seorang lelaki warga Thailand dikenali sebagai ‘Kun’ untuk membawa dokumen itu dan meminta saya menandatangani dokumen berkenaan.

“Semasa dokumen itu diserahkan kepada saya, terdapat tandatangan Nik Faisal di situ namun ruangan pada tarikh masih kosong,” kata beliau yang turut memaklumkan dokumen yang ditandatanganinya diserahkan semula kepada “Kun” untuk penghantaran.

Najib, 66, didakwa atas 3 pertuduhan pecah amanah, 1 pertuduhan salah guna kedudukan dan 3 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

 Perbicaraan diadakan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazal seperti dipetik FMT hari inii.