Malaysia Dateline

Nik Hasyudeen: Dari CEO Tabung Haji ke Gerai Pok Nik

Tahukah anda ke manakah Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff selepas beliau melepaskan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Tabung Haji?

Mula-mula, beliau yang lebih dikenali dengan nama Pak Nik menjawab, “Jaga kebun”.

“Ramai orang tanya saya apa yang saya buat sekarang ni. Saya jawab “jaga kebun”. Saya serius. Saya mahu Laman Pok Nik menjadi sebuah kebun yang produktif,” tulis Pak Nik pada 17 Mei iaitu tiga hari lalu.

Hari ini, melalui laman Facebooknya, Pak Nik datang dengan “Gerai Pak Nik”. Ada dua cawangan sekarang. Satu di Taman Melawati dan satu lagi di Damansara Damai. Menurut sumber, gerai ini sudah wujud sejak setahun lalu yang diuruskan oleh anak beliau.

NIk Hasyudeen menunjukkan makanan yang dijual di Gerai Pok Nik.

Di kedua-dua gerai ini, Pak Nik jual pelbagai jenis makanan Kelantan termasuklah Nasi Gulai ikan, daging dan ayam, Nasi Himpit Sambal, Pulut Panggang, laksam dan sebagainya.

Kebanyakan makanan ini dibawa khas dari Kelantan. Ada yang namakan ia “Nasi Kapal Terbang” kerana ia naik kapal terbang dari Kelantan ke Kuala Lumpur.

Nik Mohd Hasyudeen telah menerajui Tabung Haji semenjak 1 September 2019 dan melepaskan jawatan sebagai Ahli Lembaga, Pengarah Urusan Kumpulan dan CEO berkuat kuasa 5 Mei 2021 lalu.

Beliau menggantikan Datuk Zukri Samat dari Bank Islam yang telah dibawa masuk oleh Kerajaan Pakatan Harapan untuk menyelesaikan masalah Tabung Haji yang terlebih hutang (liabiliti) berbanding asetnya tetapi terus memberikan dividen yang besar sehinga ditegur oleh Gabenor Bank Negara.

Dalam tempoh itu, Nik Hasyudeen dikira orang sebenar di sebalik pelaksanaan penstrukturan semula Tabung Haji yang dimulakan oleh Datuk Zukri, sehingga suasana di Tabung Haji bertukar dari lebih liabiliti berbanding aset kepada sebaliknya.

“Gerai Pok Nik at Taman Melawati kembali beroperasi pagi ini. Kita berniaga sambil jaga SOP Covid-19,” tulis Pak Nik melalui Facebook beliau, Nik Hasyudeen hari ini.

Pagi tadi juga beliau memuatnaik statusnya, “Gerai Pok Nik di Damansara Damai dan Taman Melawati akan dibuka mulai pagi ini إن شاءالله.

“Sambil membeli nasi kegemaran anda, pastikan kita mengamalkan langkah-langkah perlindungan diri dari jangkitan Covid-19. Semoga usaha kita diperkenankan oleh Allah.”

Semalam beliau memuatnaik status yang berbunyi, “Jika anda ada duit sebanyak RM10,000 di dalam akaun bank anda, adakah itu sedikit atau banyak?

“Sedikit jika pendapatan RM100k sebulan, banyak jika tak pernah kerja. Nombor kena difahami dengan konteksnya, bukan ambil secara kasar sahaja.”

Status beliau hari ini mendapat sokongan meluas dari rakan-rakan Facebook beliau.

Norhayati Nordin menulis, “Humble betul. Jarang sekali saya jumpa boss corporate, kerusi empuk + office besar, sanggup turun berpanas di jalanan.”

Hashim Othman pula menulis, “Tabik spring utk Datok Nik Hasyudeen. Hebat!”

Amri Fauzi Zainin menulis satu perkataan sahaja, “Respek.”