Nik Jaafar terima Anugerah Perdana Maulidur Rasul

Nik Jaafar terima Anugerah Perdana  Maulidur Rasul
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyampaikan Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1440H/2018M kepada Datuk Paduka Nik Jaafar Nik Ismail di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. -Foto NSTP.

Tokoh agama dan Guru al-Quran, Datuk Paduka Nik Jaafar Nik Ismail, dipilih sebagai penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1440H/2018M.

Anak jati Pasir Mas, Kelantan itu menerima hadiah wang tunai RM50,000, trofi dan sijil penghargaan.

Anugerah disampaikan oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Berangkat sama, Tuanku Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Hadir sama, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Sementara itu, empat individu lagi dipilih antara penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1440H/2018M.

Mereka adalah pakar rujuk ibadat haji, Dr Anisah Ab Ghani; Pengarah Ukur Bahagian (Ehwal Persempadanan) Jabatan Ukur dan Pemetaan, Dr Azhari Mohamed; aktivis Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Yaakob Lazim; serta ahli perniagaan dan dermawan, Datuk Abd Rahman Ibrahim.

Semua penerima masing-masing menerima wang tunai RM20,000, trofi dan sijil penghargaan.

Penganugerahan itu berdasarkan sumbangan besar individu terbabit dalam memartabatkan syiar Islam di peringkat kebangsaan dan global yang diiktiraf oleh pelbagai pihak, lapor BHonline.