Malaysia Dateline

Nik Khatijah, kau sudah di kemuncak amalmu

“Sepanjang bekerja di sini, ana (saya) dah berada dengan tiga Pengurus Jabatan. Walaupun masih muda, Nik seorang pengurus yang sangat cekap, sensitif dan proaktif dalam bekerja,” ujar Suhail yang bertugas sebagai eksekutif Jabatan Kajian dan Advokasi.

Beliau berkisah, selepas beberapa bulan bekerja di bawahnya, beliau semakin rapat sebagai rakan sekerja dan kawan.

“Nik sangat profesional bila bekerja. Arwah seorang individu ‘rahmah’ sebagaimana organisasi IKRAM ini mahukan. Ketika ana sakit, beliau mengambil berat. Sungguh, arwah seorang bos yang tidak membebankan.”

Suhail berkata lagi, sangat menyenangkan mempunyai bos seperti dirinya.

“Ana menjadi saksi Nik menyerahkan seluruh jiwanya untuk medan dakwah ini. Masuk pagi, pulang malam. Malah sangat kerap datang ke pejabat pada hari minggu untuk bekerja. Semoga Tuhan tempatkan beliau dalam kalangan orang beriman.” Amin Ya Rabbal Alamin.

Kejutan dan sedih itu masih terasa

Suasana sayu dan duka masih menyelubungi Ibu Pejabat Pertubuhan IKRAM Malaysia sejak awal pagi semalam, Isnin. Hari itu juga adalah hari pertama kakitangan Pertubuhan IKRAM Malaysia memulakan tugas di pejabat setelah sekian lama Kerja Dari Rumah (KDR).

Sungguh tersentap menerima kejutan mesej daripada Ketua Pegawai Operasi (KPO) yang memaklumkan kehilangan Ukht Nik Khatijah Nik Mud yang kami sayangi kerana Allah, kami terima seawal dini hari, di saat fajar belum meyingsing lagi, sekitar jam 5.15 pagi.

Usaha mencari yang dilakukan sedari malam hari Ahad lagi memberikan khabar duka buat kami semua, setelah jenazah beliau ditemui di rumahnya di Kajang. Tangisan dan air mata menzahirkan rasa kami yang mengenali beliau. Seakan tidak percaya, namun itulah yang terjadi.

Bersama kita doakan agar si pelaku yang kejam itu segera ditemukan dan mendapat balasan yang setimpal dengan perbuatan yang dilakukannya.

إنا لله وإنا إليه راجعون
اللهم اغفر لها وارحمها وعافها واعف عنها

Dan bertalulah ucapan takziah serta yang mendoakan saudara sejamaah kami ini. Moga Nik Khatijah ditempatkan disebaik-baik tempat yang Allah janjikan.
Buat keluarga beliau, moga dikurniakan ketabahan dan kesabaran menghadapi ujian Allah itu.

Tentunya bukan kakitangan IKRAM sahaja yang merasai kehilangannya, bahkan keluarga, saudara mara, rakan seusrah, rakan-rakan IKRAM dan juga umat tentu merasakan kehilangannya.

Sukar sekali menerima perkhabaran itu. Namun, itulah yang kita semua wajib terima qadarullah (ketentuan Allah) yang tidak dapat kita ubah.

Jariah kebaikan yang berpanjangan

Sebenarnya, tiada kata yang dapat diungkapkan tentang seorang Nik Khatijah ini. Insya-Allah, kita telah baca di media-media tentang dirinya yang dinukilkan sahabat, rakan-rakan mahupun yang mengenali beliau.

Antaranya, Nik Khatijah yang lebih mesra dipanggil Nik sangat banyak memperuntukkan waktu, tenaga dan kewangannya berkhidmat untuk dakwah melalui jamaah IKRAM.

Memang bukan sesuatu yang mudah untuk kita semua lakukan, namun dalam diri beliau ada kekentalan dan kesungguhan yang membara hingga tidak ada waktu yang terbuang begitu sahaja.

Mengenalinya sedari awal bertugas dengan IKRAM di bawah Jabatan Wanita, bersama Masayu Zani dan Siti Zuhairatunfatin Masran, banyak suka duka dilalui bersama. Insya-Allah, menggunung yang baiknya dan menjadi kenangan buat kami sentiasa.

Paling saya ingat, awal-awal beliau tidak dapat terima bahawa usia saya lebih daripadanya. Kadang-kadang kerana itulah, kami bertengkar kecil. Namun kerana waktu itu kakitangan di pejabat IKRAM belum seramai sekarang ini, kami tetap berbual seperti biasa apalagi ke mana-mana selalu bersama.

Qudwah dan kenangan jadi ingatan

Mari kita lihat sisi inspirasi daripada seorang Nik.

“Nik kalau bayar hutang sangat cepat. Ana baru dahulukan duit ana pagi contohnya, hari yang sama dia terus bayar. Tegas-tegas beliau, dalam hati ada taman,” kata Nur Syazwani Ab Wahid yang juga sahabat seusrahnya.

Bagi Suhaylah Haron yang ketika bekerja di Ibu Pejabat IKRAM duduk di belakang meja arwah, beliau merasakan sangat ingat dengan kebaikan yang ditinggalkan oleh arwah.

Katanya, hujung tahun lepas ada makluman kekosongan jawatan di sebuah yayasan, kalau ada yang berminat. Maka, beginilah jawapan arwah:

“Teringin nak apply, tapi jiwa masih kemas terikat dengan IKRAM. Eh silap, sebenarnya kemas terikat dengan akhawat HQ (Ibu Pejabat),” ujarnya waktu itu.

Selain itu tambah Suhaylah, beliau pernah datang pejabat dan bawa anaknya Qayyim yang demam.
“Tiba-tiba, lepas waktu lunch, kak Nik keluar. Balik entah dari mana, beliau bagi bubur McD untuk Qayyim.”

Begitulah keterikatan yang dizahirkan arwah hingga meninggalkan kesan yang mendalam kepada rakan-rakan sepejabatnya.

Tidak ketinggalan, Nadhirah Khairudin sewaktu bertugas di pejabat IKRAM berkata, arwah sangat jelas misinya.

“Kalau kak Nik nak, dia memang akan usaha make it happen,” ujarnya sambil memberitahu rindu sangat dengan arwah.

Menurut Sarah Azmin pula, kenangan bersama Almarhumah Nik Khatijah masih segar dalam ingatannya.

“Nik seorang yang pemurah dan ingat apa yang akhawat lain suka. Ada satu hari tu, Nik ada beli kuih cakoi kacang merah dan offer kepada ana. Ana inform beliau yang kuih ni favourite ana.”

Jadi setiap kali pergi gerai di UNITEN beli kuih, mesti beliau datang pejabat dan berikan kuih cakoi kacang merah kepada Sarah.

“Terima kasih Nik (yang) ingat kita suka makan kuih tu.”

Tambahnya lagi, semua orang di Ibu Pejabat KRAM maklum bahawa Nik seorang yang rajin juga teliti dan akan buat sesuatu perkara sehingga selesai.

“Bila saya mula masuk kerja di IKRAM HQ dan perlu menguruskan sesuatu event di hujung minggu, saya belajar mengurus sesuatu kerja dengan teliti daripada Nik.

Kebiasaannya apabila ada program di Dewan Utama IKRAM Pusat, selepas tamat, semua peserta akan pulang. Namun, sebagai staf ibu pejabat yang bertugas, kakitanganlah yang perlu memastikan dewan yang ditinggalkan perlu dibersihkan dan dikemas seperti sediakala.

“Nik menunjukkan qudwah kepada saya daripada membersihkan meja, membetulkan alas meja, menguruskan sisa makanan sehinggalah membuang plastik-plastik sampah keluar dari dewan. Nik lah orang yang terakhir yang akan keluar daripada pejabat selesai memastikan dewan bersih sebagaimana sebelum program.”

Seterusnya kita selami sisi pandang seorang yang antara paling lama berkhidmat di pejabat IKRAM, Mohammad Hafizuddin.

“Nik Khatijah antara tulang belakang banyak program-program besar IKRAM Pusat antaranya sebagai pengurus program dan pendaftaran seperti Perhimpunan Tahunan IKRAM (PTI), seminar, bengkel dan sebagainya.”

Beliau berkata, apa saja tugas yang dilihat sukar seperti menghubungi pihak luar, mengurus program, beliau mampu laksanakan dengan sebaiknya.

“Walaupun Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP), program-program advokasi utama seperti Bicara Bina Negara (BBN) tetap beliau dapat kendalikan dengan lancar. Terakhir kalinya ialah pada 1 Mac lalu, BBN dengan kerjasama Sinar Harian.”

Selain itu, Hafizuddin menceritakan pengalaman dengan arwah ketika dalam mesyuarat pengurusan, beliau sentiasa ke hadapan memberi komentar dan pandangan membina untuk menambah baik operasi Ibu Pejabat IKRAM.

“Beliau sentiasa bersemangat dan amat komited dalam melakukan apa saja tugasan yang diamanahkan. Sebagai Pengurus Jabatan Advokasi, beliau dilihat paling banyak berinteraksi dengan Jabatan Penerangan dan Perhubungan (JPP) untuk melancarkan lagi program BBN secara live.”

Kata Hafizuddin yang juga Penolong Pengurus JPP, masa dan tenaga arwah dicurahkan untuk menggerakkan dakwah.

“Sebagaimana kata orang; ‘makan bola, tidur bola’ tapi untuk beliau, ‘makan dakwah, tidur dakwah’. Nik Khatijah sudah di kemuncak amalnya dan Allah lebih menyayanginya agar ‘berehat’ untuk menuju akhirat sana.”

Tidak terkecuali mantan Ketua Wanita IKRAM Malaysia, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim turut menzahirkan rasanya.

“Teramat sedih dengan berita yang diterima itu. Almarhumah Nik Khatijah pernah berkhidmat dengan saya di Jabatan Wanita semasa saya menjadi Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia sesi 2014-2018.
Menurutnya, beliau seorang staf yang sangat berdedikasi dan tekun menjalankan tugas, kembalinya pada usia yang sangat muda.

“Ya Allah… Engkau tempatkan almarhumah Nik di kalangan hamba-hamba-Mu yang Engkau kasihi, bersama para anbia dan syuhada. Semoga segala amalnya diterima sebagai amal soleh yang akan memberatkan timbangan amalnya.”
Amin Ya Rabbal Alamin.

Ayat-Ayat Allah

Teringat saya dengan ayat 154 dalam Surah Al-Baqarah yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu mengatakan terhadap orang-orang yang gugur di jalan Allah (bahawa mereka itu) mati, kerana (sebenarnya) mereka itu hidup tetapi engkau tidak menyedarinya.”

Insya-Allah kita sama doakan Ukht Nik Khatijah Nik Mud seperti orang yang Allah khabarkan menerusi ayat-Nya itu.

Memang sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata. Moga gunungan kebaikannya terus suburkan bumi Allah ini. Menjadi qudwah (contoh) yang baik buat kita yang masih hidup dan diberikan kesempatan oleh-Nya.

Kita juga pasti akan menyusul. Gurauan terakhirnya pada Khamis lalu masih segar dalam ingatan. Ia membuatkan saya muhasabah sentiasa.

“Nama akak dah banyak masuk akhbar. Teruslah menulis lagi.”

Tanpa diduga dan disangka, nama dan kebaikan yang telah beliau persembahkan sewaktu hidupnya menjadi bualan setelah pemergiannya. Masya-Allah.

Ayuh kita ambil segala yang baik daripadanya dan sebarkan. Moga ia terus menjadi manfaat kebaikan yang berpanjangan tanpa henti buatnya dan buat kita semua.

Insya-Allah, kisah inspirasi dan bermanfaat lainnya daripada beliau, akan menyusul. Kami sayang Nik Khatijah kerana Allah. Moga kita sama-sama bertemu dan berhimpun di syurga-Nya.
—————–
Atriza Umar adalah petugas Jabatan Penerangan dan Perhubungan, Pertubuhan IKRAM Malaysia