Malaysia Dateline

Nik Nazmi sambut baik bantuan kepada pesara tentera

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad menyifatkan Bantuan Harapan Negara yang bakal diberi kepada pesara tentera sebagai satu usaha kerajaan yang baik.

Menurutnya, bantuan tersebut akan memberi fokus membantu golongan tentera veteran daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

“Bantuan ini akan menggantikan Bantuan Bakti Negara dan Sumbangan Veteran Tidak Berpencen 1Malaysia 2013.

“Bantuan ini membabitkan 100,762 veteran berpencen dan 58,606 tidak berpencen.

“Jumlah penerima kali ini juga lebih besar daripada jumlah penerima bantuan terdahulu,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa berkata, pengumuman Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, merupakan peruntukan khas yang disediakan dari Kerajaan Persekutuan.

Tambah kenyataan itu, bantuan tersebut berbeza dengan sebelum ini dimana wang yang digunakan ketika itu adalah wang hasil penjualan tanah yang sepatutnya disalurkan untuk kerja-kerja menaik taraf kem-kem tentera sedia ada.

“Sejak sebelum Pakatan Harapan menjadi kerajaan lagi, saya konsisten membangkitkan isu kebajikan veteran tentera.

“Saya beranggapan bahawa ia adalah isu penting dan wajib diberikan perhatian oleh kerajaan. Veteran tentera adalah wira-wira yang telah banyak berkorban demi menjaga kemakmuran negara.

“Pada Januari 2017 juga saya telah mengkritik kerajaan di bawah tadbiran Barisan Nasional (BN) dan Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkenaan isu kelewatan pembayaran caruman kepada pesara tentera sehingga berbulan lamanya.

“Beberapa bulan lepas saya turut membangkitkan isu kebajikan tentera dan pertahanan negara dalam setiap sidang Parlimen termasuk dalam sidang kali ini,” katanya yang mengucapkan tahniah atas berita baik untuk pesara-pesara tentera.

Sebelum ini Mohamad Sabu mengumumkan bahawa peruntukan RM79.6 juta akan diagih kepada semua veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Bantuan Harapan Negara bermula 27 Mei depan.