Malaysia Dateline

Nik Nazmi selar tindakan mempolitik agihan ASB sebagai berniat jahat, jahil

Ahli Parlimen Setia Wangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad menyelar pihak-pihak yang cuba mempolitikkan pembayaran pengagihan Amanah Saham Bumiputera (ASB), yang disifatkannya sebagai tindakan berniat jahat dan jahil.

Nik Nazmi berkata, tepat seperti jangkaan, beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab cuba untuk mempolitikkan kemajuan tersebut dan mengambil jalan menyalahkan Kerajaan Persekutuan.

Nik Nazmi Nik Ahmad

Jelasnya, perkara ini sama sekali telah mengabaikan hakikat bahawa ekonomi global menghadapi rintangan yang ketara tahun ini, disebalik pelbagai inisiatif telah diambil untuk meningkatkan tadbir urus korporat oleh pihak Permodalan Nasional Berhad (PNB)

“Aset di Bawah Pengurusan (AUM) PNB juga melebihi RM300 bilion, dengan kira-kira 90 peratus dilaburkan di dalam Malaysia.

“Sebarang pergerakan besar oleh PNB akan memberi impak besar kepada pasaran saham Malaysia. ASB bukanlah satu dana ajaib yang beroperasi dalam vakum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, katanya pendapatan 5.5 peratus, walaupun mungkin mengecewakan sesetengah pihak, ia masih merupakan pencapaian besar oleh PNB.

Ketua Setiausaha Pengelola Keadilan itu juga berkata, pengagihan RM9 billion telah diagihkan kepada 10 juta pemegang unit di mana ia merupakan kejayaan besar pasukan PNB termasuk kepimpinan baharu.

“Sama ada kita suka atau tidak, sebagai ekonomi terbuka, Malaysia termasuk dalam ekonomi global dan kita tidak akan mampu sepenuhnya melindungi diri kita daripada arusnya.

“Menjadikan rakyat ketagih kepada dividen yang tidak lestari juga adalah tidak bertanggungjawab,” ujarnya.