Malaysia Dateline

Nik Nazmi tawar diri tanding Majlis Pimpinan Pusat, sokong gandingan Anwar, Rafizi

Ketua AMK Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan untuk menawarkan diri untuk bertanding di kerusi Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat pada pemilihan parti itu akhir Ogos depan.

Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa itu berkata, beliau mengambil keputusan untuk berada di barisan majlis pimpinan parti setelah berbincang dengan ahli keluarga, sahabat dan pengundi di Setiawangsa.

Pada hari ini saya mengumumkan pencalonan saya untuk kerusi dalam Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat.

“Rakyat akan beri tumpuan pada Keadilan dalam pemilihan parti akan datang ini. Kita harus memastikan bahawa proses pemilihan akan dijalankan secara adil, telus dan dalam semangat keluarga.

“Keadilan merupakan parti komponen terbesar dalam Pakatan Harapan dan memainkan peranan yang besar dalam pakatan yang mentadbir Malaysia.

“Kami telah berjaya ke hadapan setelah zaman Reformasi, tetapi perjuangan kami untuk memastikan negara yang lebih adil bagi rakyat kita belum lagi berakhir.

“Sesungguhnya, harapan rakyat lebih besar dari sebelum ini.Sejak kempen Pilihan Raya Umum yang lepas, saya bertemu dengan rakyat Malaysia daripada semua lapisan masyarakat.

“Mereka teruja untuk Malaysia Baru, tetapi mereka juga mengharapkan Pakatan Harapan untuk laksanakan tugas kita.

“Kita perlu melaksanakan agenda Reformasi dan memajukan Malaysia ke hadapan,” ujarnya.

Nik Nazmi turut menyatakan pendiriannya untuk terus menyokong Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden dan bersetuju dengan pengumuman dibuat Naib Presiden Rafizi Ramli untuk bertanding di kerusi Timbalan Presiden pada pemilihan kali ini.

“Saya juga ingin mengulangi sokongan saya bagi Anwar Ibrahim untuk dipilih sebagai Presiden Keadilan dalam pemilhan kali.

“Selain itu, saya juga ingin menyokong Rafizi Ramli sebagai calon Timbalan Presiden Keeadilan.

“Saya percaya bahawa Anwar Ibrahim dan Rafizi Ramli merupakan orang yang terbaik untuk mengetuai kita dalam perjuangan ini.

“Saya juga percaya, sebagai seorang ahli MPP, bahawa saya boleh menyokong, membantu serta bersuara bagi dan kepada mereka apabila perlu,” ujarnya.