Malaysia Dateline

Nik Nazmi tolak cadangan tubuh kerajaan tanpa parti

Selepas perutusan khas Tun Dr Mahathir Mohamad pada semalam, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini membidas cadangan penubuhan kerajaan yang dikatakan tidak akan memihak pada mana-mana parti.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR itu berkata, Malaysia tidak memerlukan pentadbiran kerajaan tanpa parti seperti yang dicadangkan sekalipun dengan niat yang baik.
Katanya, bentuk kerajaan yang dicadangkan hanya diperlukan ketika krisis nasional yang kritikal, seperti Britain yang menggabungkan semua parti politik atau ‘Kerajaan Kebangsaan’ semasa Perang Dunia Pertama, kemelesetan besar ekonomi dan Perang Dunia Kedua.
“Krisis utama yang dihadapi Malaysia pada masa ini adalah dicipta oleh pengkhianat dalam Langkah Sheraton.
“Mereka menolak muafakat dan manifesto Pakatan Harapan (PH). Tiada keperluan mendesak untuk satu kerajaan tanpa parti.
“Malah, manfaat daripada bentuk kerajaan ini juga boleh dipersoalkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya lagi, untuk menyelesaikan masalah yang timbul, perlu membenarkan proses perlembagaan berlaku.
Kata Ketua Setiausaha Pengelola Keadilan itu lagi, mengetepikan politik sama sekali tidak akan membantu meningkatkan ekonomi atau memadam rasa prejudis di antara kaum yang berbeza dalam negara.
“Kita boleh berhujah bahawa Malaysia sedang menghadapi krisis, dengan wabak Covid-19 di peringkat global dan pertumbuhan ekonomi yang lemah.
“Walaupun krisis ini turut dirasai di peringkat global, tiada negara lain di dunia telah memilih untuk menghadapi cabaran ini dengan menguburkan demokrasi dan amalan politik mereka dengan menyerahkan kuasa kepada seorang pemimpin yang berkuasa mutlak,” katanya.
Tambah Nik Nazmi, terdapat tiga pilihan yang dibuat oleh ahli-ahli parlimen di hadapan Yang Dipertuan Agong iaitu Anwar sebagai PM, Dr Mahathir sebagai PM atau pembubaran Parlimen.
Jelasnya, tidak wujud kesepakatan di kalangan semua ahli parlimen yang dengan itu beliau merasakan pilihan dengan blok sokongan terbesar iaitu Anwar wajar dipertimbangkan.
Beliau juga berkata, Dr Mahathir sering menjadikan Jepun sebagai contoh, namun pasca Perang Dunia Kedua negara itu tidak pernah mengambil jalan yang dicadangkan olehnya apalagi menyerahkan kuasa sepenuhnya kepada seseorang tanpa semak dan imbang.