Nik Nazmi yakin mampu pikul tugas di Setiawangsa

Nik Nazmi yakin mampu pikul tugas di Setiawangsa

Nik Nazmi Nik Ahmad penyandang dua penggal kerusi Dun Seri Setia menyifatkan pencalonannya bagi kerusi Parlimen Setiawangsa di Kuala Lumpur membuktikan dirinya mampu untuk memikul tugas yang lebih besar diberikan oleh parti.

Ketua Angkatan Muda PKR  berkata, bukan mudah untuk beliau meninggalkan kawasan yang begitu dekat di hatinya selama 10 tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat.

“Dun Seri Setia ini adalah kerusi pertama saya setelah sertai politik.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kawasan lama saya, Seri Setia di Selangor, yang memberikan saya keyakinan menjadi suara mereka di Dun untuk dua penggal,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Nik Nazmi adalah antara calon AMK yang diumumkan oleh Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 4 April lalu.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Pakatan Harapan turut berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh kepimpinan parti terhadap prestasinya berkhidmat sebagai wakil rakyat.

“Saya menerima pencalonan ini dengan ucapan terima kasih dan rasa rendah diri. Saya menghargai kepimpinan parti dan Pakatan Harapan, termasuk di peringkat nasional dan tempatan, untuk amanah besar ini.

“Saya bertekad untuk membalas kepercayaan yang diberikan kepada saya, untuk membuktikan saya mampu memikul tugas yang besar ini.

“Kepada pengundi-pengundi Setiawangsa, kawasan kita merupakan kawasan yang cantik dan majmuk. Tetapi saya percaya Setiawangsa boleh menjadi tempat yang lebih baik untuk didiami dan membesarkan anak-anak.

“Saya mahu mendengar pandangan anda tentang bagaimana kita boleh menjadikan kawasan kita – selain Kuala Lumpur, bandaraya kita dan ibu negara Malaysia-sebuah tempat yang boleh kita banggakan,” ujarnya.

Nik Nazmi berkata, rakyat berhadapan dengan pilihan penting antara kegagalan di bawah pemerintahan Barisan Nasional.

Walaupun BN tidak pernah tewas di Setiawangsa, beliau percaya untuk menukar Kerajaan Persekutuan, rakyat perlu memenangi kerusi marginal seperti Setiawangsa.

“Saya menawarkan diri saya untuk tugas ini. Setiawangsa yang lebih baik dan Malaysia yang lebih adil dan makmur yang kita boleh banggakan boleh menjadi realiti, sekiranya kita mahukannya.

“Saya tidak sabar bertemu semua anda sewaktu tempoh kempen – dan Insya Allah – memberi khidmat kepada anda dalam Parlimen akan datang dibawah pentadbiran Pakatan Harapan,” kataya.

Parlimen Setiawangsa dijangka akan berhadapan dengan tiga penjuru. Dijangka Nik Nazmi akan bertemu dengan Tan Sri Zulhasnan Rafique iaitu Duta Malaysia ke Amerika Syarikat dan calon Pas.

Zulhasnan pernah bertanding di kerusi Wangsa Maju pada PRU-10 dan kerusi Setiawangsa pada PRU-11 dan PRU-12 tetapi tidak bertanding pada 2013.

Manakala Pas menampilkan calon baru Ubaid Abdul Akla.

 

CATEGORIES