Nik Omar: Dengar kehendak, keluhan cara kerajaan PH hormati rakyat

Nik Omar: Dengar kehendak, keluhan cara kerajaan PH hormati rakyat

Anak bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat berpendapat kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14 bukanlah untuk dibanggakan.

Menurut Ustaz Nik Omar, PH yang diberi mandat mentadbir kerajaan Pusat perlu mendengar suara rakyat yang memilih gabungan empat parti itu.

“Kerajaan tidak perlu meminta penghormatan daripada rakyat. Kerajaan yang perlu menghormati rakyat.

“Rakyatlah menyebabkan PH berada di kedudukan sekarang ini.

“Cara kerajaan Malaysia menghormati rakyat adalah mendengar kehendak dan keluhan rakyat,” katanya dalam bual bicara di saluran Astro Awani semalam.

Bekas calon AMANAH-PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Chempaka itu berkata, kerajaan pusat di bawah kepimpinan Tun Mahathir Mohamad mempunyai tanggungjawab besar untuk mengembalikan semula sistem pentadbiran di landasan yang betul.

“Kita harap Malaysia di bawah kepimpinan baru dapat memberi keutamaan kepada rakyat.

“Saya rasa manifesto yang kita fokuskan 100 hari setakat ini, Alhamdulillah berjalan dengan baik.

“Mungkin ada program dan keputusan-keputusan baru yang asasnya memenuhi kehendak rakyat. InsyaAllah,” ujarnya ketika ditemubual perantara Nazri Kahar.

Ditanya tentang kemungkinan wujudnya rasa terkilan ekoran kalah di Dun Chempaka, Ustaz Nik Omar berlapang dada menerima keputusan rakyat.

“Alhamdulillah. Kita akur dengan pilihan rakyat,” katanya.

Beliau turut bersikap terbuka dengan keupayaan Pas mempertahankan kemenangan di Kelantan serta menawan Terengganu.

Bahkan, beliau berpendapat PH dan Pas masing-masing mempunyai tanggungjawab terhadap kemenangan yang dicapai.

“Secara mudah kita kena raikan demokrasi itu. Rakyat bebas memilih. Ia juga ketentuan Allah Taala yang memang cantik.

“Di peringkat negeri, Gagasan Sejahtera yang diketuai Pas menang. Di peringkat Pusat, rakyat memberi kemenangan kepada PH.

“Jadi, itu satu pembahagian yang adil. Masing-masing sekarang ini perlu melaksanakan tugas dan tanggungjawab.

“Terutamanya melaksanakan manifesto bagi parti dan negeri masing-masing.

“Jadi, itu satu perkembangan yang sihat,” jelas Ustaz Nik Omar lagi.

7.7
OVERALL SCORE
: 10.0
2 user votes x 6.5
CATEGORIES
TAGS