Nik Omar gesa tonjolkan kekuatan pimpinan

Nik Omar gesa tonjolkan kekuatan pimpinan

Anak bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat menggesa penyokong Pakatan Harapan (ph) agar menonjolkan kekuatan pimpinan daripada termakan adu domba pihak lawan.

Menurut Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz, hal tersebut penting kerana seperti perlawanan bola, tiada yang akan menjaringkan gol ke gawang sendiri.

“Sepatutnya daripada setiap parti (dalam PH), kita ceritakan kekuatan kita. Apa yang ada dan hasrat yang kita hendak bawa.

“Jadi, kalau kita sekarang sokong kerajaan PH kita lihat kekuatan yang ada pada pimpinan kita. Soal berada di parti mana, itu soal nombor dua dan tiga.

“”Macam kita main bola. Takkan nak beri dia sumbat gol kita. Disebabkan musuh, maka kita pertahankan gol kita tetapi tidaklah kita cah keting. Kita main dengan profesional.

“Kalau bola semangat berpasukan begitu, kita dalam parti ini kita lagi kena profesional. Kita sebutkan kekuatan kita,” ujarnya dalam ceramah di tapak Pasar Tani Jenaris di Dun Semenyih baru-baru ini.

 

Peralihan

Bekas calon PH pada PRU-14 di Dewan Undangan Negeri (Dun) Chempaka, Kelantan itu turut menyebut tentang peralihan kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Dia (Anwar) beri sepenuhnya masa yang sesuai untuk Tun (Mahathir) urus negara ini. Sebab itu Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa sebut dia tidak mahu kacau pentadbiran Tun.

“Kita kena bagi sokongan sepenuhnya. Kita juga yakin InsyaAllah apabila sampai masanya, Tun akan serah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya yang mengetuai Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) berkuat kuasa 1 Disember lalu.

Menyentuh hal berkaitan pilihan raya, Ustaz Nik Omar menyeru agar proses demokrasi itu tidak menjadi medan perbalahan lantaran hilang sikap saling menghormati.

“Tidaklah apabila sebut pilihan raya, inilah peluang kita berbalah. Tidak. Kita kena ubah mentaliti ini. Ada pilihan raya pun kalau kita baik, baiklah cuma hormat pilihan masing-masing.

“Pilihan raya bukan masa kita berbalah, bertekak dan menumbuk orang atau masanya untuk berbohong dan buat apa sahaja,” tambahnya lagi.