Nik Omar kini idola baru pengundi wanita, kata pengkaji

Pelakun Abby Abadi (barisan depan, dua dari kiri) bersama suaminya ke Pengkalan Chepa bagi mengikjuti ceramah Nik Omar.

Bukan sahaja Wardina Safiyyah, bahkan pelakun Gerak Khas Abby Abadi juga bersama Nik Omar Nik Abdul Aziz.

Kalau Wardina menulis sokongannya dalam Facebook, Abby pula datang ke Pengkalan Chepa bersama suami beliau untuk mengikuti ceramah Nik Omar.

Itulah gelombang yang berjaya dicipta oleh Pakatan Harapan (PH) melalui penyertaan Nik Omar dalam PRU 14 ini.

Nik Omar telah disahkan sebagai calon PH yang menggunakan logo PKR di DUN Cempaka, tempat ayahdanya, Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi wakil rakyat ketika hayatnya.

Menurut penganalisis politik Kelantan, Dr Khairudin Damanhoeri, secara khususnya Nik Omar telah berjaya menarik sokongan pengundi wanita dengan ketara sekali.

“60% undi wanita Kelantan kini bersama Pakatan Harapan,” kata pengkaji politik Kelantan itu ekoran kemasukan Nik Omar.

Menurut Khairudin, beliau meneka, strategi PH ketengahkan Nik Omar ialah untuk menarik perhatian golongan pengundi atas pagar khasnya di kalangan wanita.

Sokongan kepada PH naik 100% kerana Nik Omar, kata Wardina.

“Endorsement artis-arti wanita seperti Abby dan Wardina akan semarakkan lagi sokongan di kalangan pengundi wanita muda,” kata Khairudin yang banyak membuat kajian politik di Kelantan.

Katanya, berbanding dengan anak-anak lelaki lain Almarhum Tok Guru Nik Aziz, penampilan Nik Omar adalah paling mirip dengan penampilan almarhum semasa hidupnya.

“Ia secocok dengan mesej tersirat yang PH isyaratkan bahawa PH menawarkan “penjelmaan semula pentadbiran TGNA” yang akan membawa 1,001 intepretasi peribadi di kalangan pengundi,” katanya.

Bagi beliau, selaran yang dibuat Pas terhadap Nik Omar membayangkan kesan yang terpaksa mereka hadapi.

“Tindakan Pas Kelantan, khasnya selaran yang dilempar kepada Nik Omar oleh establishment Pas Kelantan membayangkan kebimbangan bahawa penyertaan Nik Omar dalam PH boleh menimbulkan kesan di kalangan ahli dan penyokong Pas,” katanya.

Wardina pula mengucapkan terima kasih kepada anak bekas mursyidul am Pas yang paling berpengaruh itu.

“Terima kasih Ustaz atas keputusan yang tidak mudah ini… moga menjadi contoh bagaimana politik Malaysia seharusnya berdiri.

“Pernah tak tanya insan-insan hebat ni… ada sebab kenapa mereka memilih PH. Mereka bukan bodoh, mereka bukan tidak ada agama… Fikirkan ya? Ada sesuatu di sana. Ada Harapan semestinya,” tulisnya.

Wardina juga menulis, “dengan ramainya mereka yang berintelek, berwibawa dan ikhlas berjuang… kepercayaan saya kepada PH naik lagi 100%. Subhanallah. Sebak pun ada,” tulisnya.

Beliau mengharapkan mereka yang ikhlas berjuang ini dapat memberi nasihat kepada mereka yang lain dalam PH sekiranya mereka tersilap langkah kelak.

“Kepada pemimpin PH, harapan kami begitu tinggi, jangan dirobek dan hampakan kami. Pimpinlah Malaysia seadil, semaju dan sebaiknya untuk semua.

“Perbaikilah segala kepincangan sistem dan bebaskan negara dari tamak haloba dan tipu daya. Ya Allah berikanlah kami pemimpin yang sebaiknya untuk kita,” katanya.

Wardina yang memberikan sokongan kepada Pas dalam pilihanraya umum ke 13 lalu meminta pemimpin parti itu merenug perkara ini.

“Maaf ya rakan-rakan dari Pas, namun kita jauh berbeza kali ini di dalam ideologi politik khususnya. Mungkin wajar duduk seketika dan bertanya… mengapa ini terjadi. Saya tak boleh terima hujah mimpi,” tulisnya.

7.2
OVERALL SCORE
: 9.0
21 user votes x 7.1