Malaysia Dateline

Nik Omar mahu Yadim sebagai wadah keharmonian kaum

ANAK Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aiz, Nik Omar Nik Abdul Aziz diberi amanah menerajui Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), beliau memulakan tugasnya bersama Timbalannya, Zolkarnain Abidin di Yadim pada 20 Disember baru-baru ini.

Pelantikan Nik Omar adalah berdasarkan Klausa 7(a) Perlembagaan Yadim yang menyatakan bahawa semua pelantikan Yang Dipertua Yadim dan Timbalan Yang Dipertua Yadim adalah di bawah keputusan Perdana Menteri.

Beliau dilantik bagi menggantikan Dr Yusri Mohamad yang menamatkan perkhidmatannya pada 31 Oktober. Dengan pelantikan itu, Nik Omar kini menjadi Yang Dipertua Yadim ke-13 sejak penubuhan badan dakwah ini pada 1974.

Yadim adalah sebuah badan amanah yang didaftarkan di bawah Trust Incorporation Ordinance 1952 yang bertanggungjawab kepada Perdana Menteri.

Yadim ditubuhkan sebagai sebuah badan yang bertindak bagi menyelaras aktiviti serta program dakwah yang pelbagai di negara ini.

Manakala tiga lagi Ahli Lembaga Pengarah yang terdiri daripada Datuk Wira Abdul Ghani Samsudin, Mohd Raimi Abdul Rahim dan Dr Mohd Abdul Razak turut dilantik dalam pengurusan baharu di Yadim.

Nik Omar mengetik kad kehadiran di mesim perakam waktu kira-kira jam 10 pagi di pejabat Yadim baru-baru ini. Beliau yang ditemui Wartawan Malaysia Dateline sempat meluangkan sedikit masa untuk ditemubual. Ikuti temubual beliau bersama Malaysia Dateline.

Malaysia Dateline (MD): Apa perasaan Ustaz selepas diberi tanggungjawab menerajui Yadim untuk kali ini?

Nik Omar: Tugas dan jawatan ini lebih kepada tanggungjawab, kita tahu antara tanggungjawab kita dengan Allah Taala dari sudut wadah untuk menyampaikan risalah Allah. Inilah agensi yang sesuai untuk dilaksanakan.

MD: Menjadi orang penting di dalam Yadim, apa visi dan misi Ustaz untuk Yadim?

Nik Omar: Dari sudut rasminya kita perlu ambil sedikit masa, cuma penekanan utama kita sebagaimana yang disebut tadi mesej daripada Perdana Menteri dan Menteri Agama mahukan Islam diperjelaskan kepada rakyat iaitu Islam yang sebenar berdasarlan Alquran dan hadis yang sahih.

Ianya, berdasarkan Islam yang di bawa oleh Nabi kita Muhammad SAW sesuai dengan gagasan Rahmatan Lil Alamin.
Apabila kita perjelaskan Islam, orang Islam akan selesa dengan kita dan yakin Islam sebagai panduan kepada kehidupan. Pendekatan Islam yang digunakan perlu bijak agar orang bukan Islam boleh menerima Islam dengan baik yang memberi kehidupan mereka lebih aman sejahtera dibawah naungan Islam walaupun mereka tidak Islam. Inilah fokus utama kita.

MD: Apakah bentuk dan pendekatan dakwah yang perlu digunakan untuk mewujudkan perpaduan kaum yang harmoni?

Nik Omar: Kita akan cuba, mungkin antara program yang kita boleh buat ialah dialog. Kita boleh panggil ketua-ketua agama. Mereka ini boleh berkongsi pandangan dan ide untuk mewujudkan suasana aman dan harmoni di negara kita. Tidak ada sentimen perkauman, semua rakyat Malaysia boleh bernaung di bawah satu perlembagaan yang telah diterima sejak awal merdeka sehinggalah sekarang.

Kita berpendapat ketua-ketua agama adalah orang yang boleh berperanan ke arah itu, kita besedia untuk menjadi tempat, wadah dan alat keharmonian.

 

Nik Omar mengikuti taklimat awal daripada pegawai dan kakitangan Yadim pada 20 Disember baru-baru ini

MD: Apa harapan Ustaz terhadap semua institusi agama Islam dan pelaksanaan dakwah ketika ini?

Nik Omar: Kita akan bekerjasama dengan semua pihak sama ada agensi pusat dan kerajaan negeri hatta Ngo-ngo. Kita mahu jadikan Yadim mesra untuk semua supaya semua berasa selesa dengan kewujudan Yadim. Kita akan fokus ke arah itu.

Yang penting tanggungjawab kita sebagai seorang Islam dan Yadim akan laksanakan dengan sebaik mungkin. Kita mahukan kegemilangan Islam kembali semula dan berusaha menjadikan negara Malaysia antara contoh terbaik bukan sahaja untuk orang Islam bahkan bukan Islam akan merasai nikmat tersebut. Ini yang kita harapkan dan institusi agama Islam yang lain juga berperanan untuk membantu Yadim bagi merealisasikan hasrat ini.

MD: Yadim ditubuhkan oleh Almarhum Tun Razak, antara pengasas ahli pemegang amanah adalah salah seorangnya ATGNA ayahanda ustaz sendiri, apa perasaan ustaz yang seolah-olah menyambung semula legasi ATGNA?

Nik Omar: Ada maklumat yang kita terima, saya secara peribadi tidak berani hendak sebarkan tetapi apabila kita dapat taklimat rasmi daripada pengurusan Yadim tadi kita boleh sahkan dengan nama dan tandatangan ayahanda. Saya secara peribadi sangat teruja maknanya tempat Almarhum ayahanda Tok guru pernah berada di sini termasuk ahli lembaga pengarah yang paling awal. Saya secara peribadi berdoa segala hasrat ATGNA, anak dia dapat capai dan meneruskan legasi.

Dakwah Almarhum Tuan Guru, khususnya di Yadim, saya berdoa supaya pahala ayahanda Tok Guru di atas sumbangan dia terhadap kewujudan dan fungsi Yadim tersebut.

MD: Bagaimana Ustaz melihat Pas ketika ini?

Nik Omar: Kita tengok situasi sejak dahulu lagi DAP tidak setuju dengan syariah Islam tetapi Almarhum Tok Guru boleh uruskan dengan baik sebab apa? sebab Tok Guru fikir jangka panjang. Kita nak menang sebab itu kita masuk pilihan raya, jadi kita tidak mampu berseorangan. Kita tidak mampu.

Dan Pas sediri tidak nafikan perkara ini, dia memang berpandukan Islam cuma dari segi pendekatan Pas hari ini akhirnya memberi kesan kepada keputusan. Bukan saya sahaja yang cakap majoriti yang cakap seperti itu.
Pimpinan Pas pusat ada yang tahu tetapi kerana walak…jadi risikonya hari ini menjadi semakin tidak logik apabila membangkitkan pula isu perkauman.

Tok Guru pernah cakap tiada nilai sesen pun soal kaum ni…kita sepatutnya bawa Islam sahaja. Tapi bila kita sebut Islam Melayu, Cina yang masuk Islam macam mana? India yang masuk Islam macam mana? Mereka akan terasa.
Jadi kita terikut dengan budaya Umno.

Sekarang apa jadi, kita harap Umno masuk Pas…tidak boleh! Umno tidak akan masuk Pas. Kalau Umno keluar pun dia akan pilih Pakatan Harapan khususnya Bersatu. Ego dia masih tinggi.