Malaysia Dateline

Nik Omar tenang, mesra pujuk anak Kelantan pangkah Pakatan Harapan

Tenang berucap hanya dalam 10 minit, cara penyampaian Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz dilihat bersahaja, mesra bahkan sempat sedikit berseloroh.

“Puluhan tahun kita beri peluang kepada kerajaan (Umno-BN) sekarang ini.

“Bukannya semakin baik, semakin teruk dan kita pembangkang ini bukannya nak tuju ke belakang, kita mahu tuju ke depan,” katanya ketika hanya tinggal enam hari lagi untuk rakyat membuang undi.

Serentak itu, hadirin dalam Majlis Ttemu Mato Anak Kelantan di Seksyen 17 Shah Alam petang tadi menjadi sedikit riuh apabila bertepuk tangan bercampur ketawa lantaran menyedari ungkapan tersebut berkaitan dengan dakwaan Presiden Pas semalam.

“Jadi, kalau sudah tepuk banyak kali, cukuplah tu,” usik Nik Omar sambil tersenyum sejurus reda tepukan pendengar.

Terdahulu, mereka yang hadir sudah memberi tepukan kuat apabila Nik Omar dilihat secara tidak langsung menjawab kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang, 30 April lalu.

Dalam surat terbuka itu, Abdul Hadi mengaitkan anak-anak pimpinan Pas yang menyertai Pakatan Harapan (PH) dengan kisah anak Nabi Nuh memperlekehkan bahtera kapal ayahnya.

“Jadi, tidak timbul isu agama (dengan mengundi PH) seolah-olah keluar daripada Islam.

“Berapa orang ahli Pas? Katakan sejuta. Orang Islam di Malaysia ini katakan 10 juta. Maka, sejuta bersama ‘bahtera Nabi Nuh’ yang lain tidak bersama, 9 juta,” bidasnya tenang.

Hujah beliau sekali gus mengundang ketawa hadirin termasuk penyandang kerusi Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan penyandang Dun Batu Tiga, Rodziah Ismail yang turut berada semeja dengan abang Nik Abduh itu.

Biarpun ringkas, ucapan Nik Omar padat dalam lenggok bahasa Kelantan dengan membahasakan “ambo” dan “adik kakok”. Nilai rendah diri yang dimiliki anak sulung bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat amat terserlah.

Meneruskan ucapan di Pusat Logistik Pakatan Harapan (PH) iaitu bersebelahan tapak Pasar Tani, Shah Alam itu, beliau menerangkan kewajaran perlunya rakyat memilih PH.

“Apabila sebut mengundi berkait dengan memilih. Pilih ni bukan nak pilih agama, bukannya soal nak Islamkah atau tidak. Semua kita sudah orang Islam. Alhamdulillah dengan nikmat Islam.

“Yang bukan Islam, tiada paksaan. Dia tak terima Islam, dia punya pasal. Islam ajar hormati mereka.

“Kita nak pilih bakal pemimpin, satu pasukan yang kita yakin boleh urus negara ini,” kata calon PH kerusi Dun Chempaka (N06) di Kelantan itu.

Menjawab cakap-cakap negatif tentang DAP pula, Nik Omar berpendapat, tiada masalah bergabung bersama-sama parti lambang roket itu.

“Kita ada pimpinan PKR, AMANAH dan kita menghormati rakan sinergi politik kita DAP walaupun kebanyakan mereka bukan Islam. Tapi di kalangan mereka ada juga orang Islam.

“Itu sebab apabila ditanya Tok Guru (Nik Aziz) bagaimana orang Islam masuk DAP, Tok Guru kata, tiada masalah.

“DAP bersetuju bersama Pakatan Rakyat ketika itu untuk membentuk kerajaan baru yang lebih baik, berintegriti dan mengurus negara ini bagi memberi manfaat kepada rakyat.

“Apa masalahnya kalau kita bergabung dengan bukan Islam? Dia bukannya nak tonjol agama dia. Yang pentingnya kita sepakat bersetuju untuk lantik kerajaan baru,” jelasnya.

Beliau menyifatkan PRU-14 ini adalah peluang untuk rakyat membuat pilihan lebih baik selepas mengalami pelbagai masalah terutama bebanan kos sara hidup.

“Kita sama ada duduk di kampung dan bandar, semua merasa susah belaka. Kalau (gaji) RM10,000 pun susah, apa lagi yang RM1,000. Apa lagi yang tiada (pendapatan), lagi berat.

“Bila ada pilihan raya, kita nak pilih yang terbaik antara kita. Gabungan empat parti (dalam PH) terlibat dalam politik Malaysia berpuluh tahun juga mentadbir Malaysia termasuk ayahanda Tun Dr Mahathir.

“Mudahnya, 9 haribulan ini, hari Rabu baca Bismillah, tangan kanan pangkah Pakatan. Ambo tidak ajak adik kakak lawan Islam sebab di Kelantan (kononnya PH) nak runtuhkan kerajaan Islam.

“Siapa yang mahu runtuhkan? Mana buktinya kalau Pakatan menang, runtuh kerajaan Islam sebab arak, judi akan masuk semua.

“Siapa yang mahu arak, judi? Saya yakin semua pimpinan PH tidak mahu. Mana yang comel (polisi yang bagus), kita akan teruskan. Masih banyak lagi benda yang kita boleh buat.

“Ambo nak ajak adik kakak pegang ayat al-Quran. Ambo tak ajak guna kekerasan. Ambo ajak adik kakak junjung Harapan sama ada di peringkat Malaysia dan negeri masing-masing.

“Ambo tak ajak adik kakak pegang senapang, ambo tidak ajak adik kakak pangkah orang. Ambo ajak adik kakak pangkah Pakatan Harapan lambang keadilan demi kebajikan,” kata Nik Omar lagi.