Selepas lebih 10 tahun menjadi Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dilantik semula mengisi jawatan itu bagi menggantikan Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
Pelantikan Ketua Dewan Ulama Pas itu ekoran peletakan jawatan oleh Khairuddin yang mengikut peruntukan perlembagaan parti mengikut Fasal 8(7).
“Pada mesyuarat berkenaan, Mohd Khairuddin meletakkan jawatan secara terhormat. Itu tindakan bermoral dan baik yang mana memberi petanda beliau tidak menghadapi apa-apa masalah.
“Jadi, majlis berbincang dan meletakkan saya semula ke jawatan itu. Saya seorang daripada anggota sebelum ini maka sebulat suara (setuju dengan pelantikan) apabila Mohd Khairuddin letak jawatan.
“Sebenarnya, sebelum ini saya sudah pegang jawatan Setiausaha Majlis Syura Ulama lebih 10 tahun dan kini dilantik semula,” kata Nik Zawawi hari ini dipetik BH.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan itu berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan kerja program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) di Sungai Burong, Tanjung Karang, Selangor.
Sebelum ini, kepemimpinan tertinggi Pas dilihat ‘berperang mulut’ terbuka sekaligus menggambarkan ketegangan dalaman parti yang berkerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) itu.
Susulan pengguguran Khairuddin Aman Razali sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mendesak parti membuat penjelasan kepada umum.
Walau bagaimanapun, gesaan anak Almarhum Nik Aziz itu diselar AJK Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
Menteri Besar Kedah itu menegaskan parti tidak perlu mendedahkan secara terperinci alasan pengguguran berkenaan dan memadai dengan alasan berpunca akibat isu disiplin.
Bahkan, Mursyidul Am, Datuk Hashim Jasin juga kesal dengan tindakan Nik Mohamad Abduh dan menegaskan Ahli Parlimen Bachok itu sepatutnya berjumpa sendiri Abdul Hadi bagi mendapat penjelasan lanjut mengenai pemecatan tersebut.
Beliau berpendapat Nik Abduh yang mempersoalkan secara terbuka itu cuba mencetuskan kekeliruan dalam media sosial.
