Malaysia Dateline

Nikmat koleksi buku nadir

Buku nadir adalah buku-buku yang jarang diperolehi. Biasanya adalah buku cetakan lama dan sudah tiada dalam pasaran.

Perpustakaan Negara (PNM) mengkaterogikan buku nadir adalah sebagai bahan terbitan lama yang diterbitkan sebelum tahun 1900. Takrifan buku nadir bagi peringkat awam ia adalah buku lama yang sukar diperolehi sekarang. Ia berbeza dengan koleksi manuskrip yang merupakan hasil tulisan tangan.

Bagi institusi kerajaan seperti PNM atau Arkib Negara, proses mendapatkan koleksi nadir adalah sebahagian daripada tugas pengesanan buku melalui penelitian katalog penerbit atau pembekal buku antikuarian dan firma lelongan.

Koleksi nadir juga diperolehi dengan mengesan institusi atau orang perseorangan dari dalam atau luar negara yang mempunyai koleksi buku atau terbitan lama yang boleh dirundingkan perolehannya sama ada secara hadiah, pertukaran ataupun pembelian.

Bagi individu seperti saya dan peminat buku nadir yang sederhana, buku nadir diperolehi daripada hasil perkongsian dan pembelian daripada kedai-kedai buku terpakai atau mengambil daripada mana-mana badan yang hendak melupuskan koleksi buku lama mereka seperti sekolah dan universiti.

Di perpustakaan Swansea University, terdapat satu rak buku di pintu masuk buku-buku lama yang hendak dilupuskan. Ada yang percuma dan ada yang perlu bayar dengan kadar harga yang sangat rendah. Sesetengah penduduk Swansea meletakkan buku-buku yang tidak dikehendaki di hadapan rumah dengan meletakkan satu notis buku percuma.

Menurut PNM, koleksi nadir Malaysiana mula terbina pada tahun 1970-an iaitu melalui bahan yang dihadiahkan dari beberapa perpustakaan tempatan seperti dari Kuala Lumpur Book Club; Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Melaka; Henry Gurney Memorial Library dan Perpustakaan Perbandaran Johor Bahru.

Dato’ Hashim Sam Abdul Latif, Ketua Pengarah PNM pada tahun-tahun 80-an ketika itu telah berjaya membawa balik 1,652 naskhah bahan nadir yang sebahagian besarnya adalah bahan Malaysiana dari pejabat Pesuruhjaya Malaysia di United Kingdom. Bahan koleksi ini telah dipulihara dan menjadi koleksi Malaysiana yang amat bernilai.

Manakala Perpustakaan Pulau Pinang, mereka mendapat koleksi buku nadir daripada Perpustakaan Penang Free School yang merupakan perpustakaan paling awal ditubuhkan oleh Inggeris. Koleksi buku nadir di Perpustakaan Pulau Pinang memang banyak.

Begitu juga dengan koleksi akhbar-akhbar lama terutama sebelum Perang Dunia Kedua masih disimpan dalam sebuah ruang khas. Bagi penyelidik seperti saya, ia adalah seperti satu alam lain yang menarik untuk diterokai.

Antara buku paling lama dalam koleksi saya dicetak pada 1920. Mungkin tidak dianggap nadir sebagaimana takrifan PNM. Saya simpan buku tersebut di almari lain. Buku bertajuk ‘The Outline of History’ oleh H.G. Wells terbitan Cassell and Co, London. Buku tersebut adalah mengenai sejarah hidupan dan manusia.

Sebahagian koleksi saya dapat percuma dan beli dengan harga patut beli. Sewaktu saya pergi ke Hay on Wye, juga ambil kesempatan membeli buku nadir. Hay on Wye adalah sebuah pekan kecil yang dikenali sebagai ‘The Town of Books’. Ia mengandungi lebih 40 buah kedai buku.

Satu hari tidak mungkin habis untuk pergi ke semua kedai buku. Ada koleksi Melayu yang disimpan dalam almari berkunci. Sayangnya, saya tidak tengok lanjut. Ada buku belajar Bahasa Melayu tulisan R.O Winsted sesat di sebuah pasar di pinggir kota London. Itu saya beli.

Dalam koleksi nadir saya, terdapat sebuah atlas poket terbitan syarikat Thomas Nelson and Sons, London yang melakarkan peta Palestin dalam buku kecil tersebut. Satu peta dikenali sebagai Palestine – Old Testament dan satu lagi Palestine – New Testament.

Buku tersebut mengandungi 260 peta negara dan ibu kota di seluruh dunia termasuk rantau kita dalam peta yang dikenali sebagai West Indies. Semenanjung Malaysia dikenali sebagai Malay Peninsula dan North Borneo Saba dan Sarawak. Sayangnya tiada tarikh cetakan.

Mungkin dalam tahun 40-an atau lebih awal lagi. Kini, Palestin bukan sekadar hilang kedaulatan dan tanahnya. Palestin kini hilang dalam peta. Tiada dalam google maps, waze atau buku peta dunia.

Sebuah karya Lenin yang bertajuk ‘The State and Revolution’ saya beli di carboot sale Singleton, Swansea. Buku tersebut dicetak pada tahun 1970. Buku ‘Fiqh Dakwah’ tulisan Pak Natsir saya beli di kedai buku terpakai milik Faizal Ghazali di Kota Bharu Bandaraya Islam. Ia dicetak pada tahun 1978.

Buku karya Hamka bertajuk ‘Tasawuf Moden’ cetakan tahun 1938 saya perolehi dari pemberian arwah Wak Arif semasa melawatnya dua tahun lalu sebelum beliau meninggal dunia.

Buku itu diterbitkan oleh Penerbitan Toko Buku Islamijjah, Medan. Pak cik saya itu belajar di pasentren Tebuireng, Jawa yang diasaskan Kiai H. Hasyim Asy’ari, pendiri Nahdatul Ulama.

Mempunyai koleksi buku nadir bukan sekadar satu hobi atau boleh dijadikan satu perniagaan tetapi jauh lebih daripada itu, ia adalah satu usaha pengumpulan sumber-sumber penting dalam pensejarahan negara dan bangsa. Dari situ juga kita dapat memahami evolusi bahasa, pemikiran dan budaya berlaku melalui catatan-catatan pelbagai sumber.

Memang perkembangan buku nadir di tanah air agak lewat berbanding dengan negara-negara Eropah. Bahkan sewaktu kuasa-kuasa Barat datang ke Timur, manuskrip-manuskrip yang ditulis hingga buku-buku yang dicetak di Timur dibawa ke Eropah dan ditelaah oleh mereka.

Kapal Flor de la Mar milik Portugis yang tenggelam di Selat Melaka juga memuatkan khazanah ilmu. Tidak sampai setahun menawan Melaka, mereka terus bawa pulang harta-harta rampasan perang ke negara mereka.

Tentulah mereka lebih memahami nikmat atau kepentingan khazanah tersebut. Mengapa kita lambat untuk menikmatinya?

*DR MUHAIMIN SULAM adalah penyelidik, penyair dan pengarang buku ‘Menang dan Terbuang – Demokrasi, Deep State dan Darurat’ yang akan berada dalam pasaran pada Oktober 2021.