Malaysia Dateline

Nilai agung keadilan tidak boleh dipadam oleh ayat sumpah

ULASAN: Syariah dengan maksud agama secara keseluruhan turun bersama kekuatan untuk memelihara dirinya sendiri melalui perantaraan usaha dan tindakan manusia. Hal ini disebut hifz al-deen (menjaga agama). Itulah antara tujuan agung syariah.

Agama secara keseluruhan dan amalannya secara satu-persatu adalah pencetus dan pembawa rahmat, keadilan, kebaikan dan hikmah (bukan sia-sia).

Tidak ada mana-mana ajaran agama, jika diamal akan menyebabkan kerosakan kepada agama. Jika sesuatu amalan agama yang diamal menatijahkan kerosakan kepada agama, amalan itu tidak menepati agama.

Solat misalnya, jika didirikan di tengah-tengah jalan raya sehingga mengganggu lalu lintas, atau menyebabkan kesesakan, solat itu tidak menepati ajaran agama.

Membaca al-Quran adalah zikir dan sebahagian ajaran agama. Namun jika dibaca sehingga mengganggu rehat orang sakit atau tidur anak kecil, amalan itu tidak menepati tujuan agama diturunkan iaitu membawa rahmat dan kesembuhan.

Nama baik agama mesti dipelihara. Inilah yang diistilahkan oleh Ben Bayyah sebagai hifz al-sum’ah al-hasanah li al-Islam. Apabila nama baik agama tercemar dan agama dibenci, ketika itu tujuan agung penurunan syariah sudah terabai.

Merujuk kepada aktiviti sumpah di sebuah masjid baru-baru ini oleh seorang bekas pemimpin utama negara, bagi saya perbuatan itu sedikit sebanyak mencemar nama baik agama pada mata sebahagian orang.

Atau istilah yang popular, menyebabkan persepsi negatif kepada agama. Gambarkan jika ada yang berpersepsi, hanya dengan bersumpah sebegitu diri menjadi bersih dan terlepas daripada pelbagai palitan negatif?

Hanya guna nama Tuhan, buat di rumah Tuhan, disokong oleh agamawan, maka seseorang sudah boleh lepas daripada pelbagai dakwaan jenayah? Atau, boleh bersih daripada dakwaan penyelewengan?

Tentulah hal itu tidak menepati agama. Bahkan, hal itu telah mencetuskan persepsi negatif kepada agama. Lanjutannya, agama dilihat naif, selekeh, restu mungkar yang tentunya semua itu bercanggah dengan nilai-nilai sejagat yang menjunjung kekuatan, kemuliaan dan kewibawaan.

Agama tidak bercanggah dengan nilai-nilai kemanusiaan sejagat. Keadilan misalnya, tidak mengenal status, bangsa bahkan tidak mengenal agama. Kata Nabi SAW, jika Fatimah Puteriku mencuri, pasti aku akan potong tangannya.

Tidak ada ajaran daripada baginda untuk meminta puterinya membersih diri dengan bersumpah di masjid baginda, di hadapan baginda dengan menyebut nama Tuhan, padahal baginda insan paling mulia dan masjid baginda lebih agung berbanding masjid lain kecuali masjid al-Haram.

Itulah nilai yang mesti ditegakkan. Nilai agung keadilan tidak boleh dipadam oleh sepotong ayat sumpah, walaupun sumpah juga sebahagian daripada ajaran agama.

Jika sumpah menatijahkan persepsi negatif kepada agama, sumpah itu sudah tergelincir dari landasan agama.

* Ustaz Zolkharnain Abidin adalah Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH