Malaysia Dateline

Nilai eksport produk kayu susut sedikit pada 2018, kata Kok

Nilai eksport produk kayu Malaysia dijangka mengalami sedikit penyusutan tahun ini berbanding RM23.21 bilion yang dicatatkan pada 2017 berikutan keadaan ekonomi global yang lemah, demikian menurut Menteri Industri Utama, Teresa Kok.

Beliau berkata, pertikaian perdagangan antara Amerika Syarikat dan China yang menyebabkan ketidakseimbangan dan ketidaktentuan turut menjejaskan permintaan terhadap komoditi termasuk kayu.

“Apabila melihat harga komoditi kita jatuh dan ekonomi lemah, (ia) bukan sahaja berlaku kepada Malaysia, malah di seluruh dunia. Kita tidak boleh terlalu terkejut dengan penurunan ini,”katanya kepada pemberita selepas melancarkan Simposium Antarabangsa Produk Kayu, di sini, hari ini.

Dari Januari hingga Ogos tahun ini, jumlah eksport kayu dan produk kayu menyusut 5.7 peratus kepada RM14.6 bilion berbanding tempoh sama pada 2017 akibat faktor cuaca.

Pada 2017, nilai eksport berjumlah RM23.21 bilion. Antara penyumbang terbesar kepada pendapatan eksport ialah perabot kayu yang berjumlah RM4. 95 bilion.

Terdahulu dalam ucapannya, Kok berkata, purata penggunaan kayu pada setiap tahun adalah kurang daripada 10 peratus daripada jumlah bahan pembinaan yang digunakan dalam sektor pembinaan.

Katanya beberapa faktor menyumbang kepada kekurangan penggunaan kayu misalnya salah anggapan bahawa kayu mahal dan mudah terdedah kepada serangan anai-anai dan kulat.

Beliau juga berkata, Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (UBBL) 1984 yang mengelaskan kayu sebagai bahan mudah terbakar adalah satu daripada penyebab yang menghalang penggunaan kayu untuk bahan pembinaan.

“Jadi, adalah sukar untuk menerima kelulusan daripada pihak berkuasa jika kayu digunakan sebagai sebahagian daripada struktur utama bangunan.

“Jawatankuasa kerja ditubuhkan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia dan pakar industri yang berkaitan untuk menyemak kandungan UBBL bagi memastikan ia tidak mendiskriminasikan penggunaan kayu untuk pembinaan.

“Draf cadangan itu sedang dimuktamadkan dan akan dikemukakan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan tidak lama lagi untuk pertimbangan,” kata Kok.

 — BERNAMA