Malaysia Dateline

Nilai hak asasi di Malaysia ketika Covid-19

Berikutan penularan wabak CONVID 19 di seluruh dunia, Malaysia turut sama menyekat pergerakan rakyat dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula dari 18 hingga 31 Mac 2020.

PKP itu dibuat dengan penguatkuasaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Polis 1967 (Akta 344). Beberapa perintah dan peraturan diperkenalkan di bawah kedua-dua akta tersebut.

Kesan langsung daripada penguatkuasaan akta-akta itu adalah penyekatan terhadap hak asasi rakyat seperti mana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Hak asasi ini terkandung dalam Perkara 5 sehingga Perkara 13 Perlembagaan.

Beberapa hak asasi yang disekat adalah hak untuk bergerak secara bebas dalam Persekutuan, hak warganegara untuk memasuki Persekutuan, hak untuk mengamalkan agama dan hak untuk berhimpun secara aman.

Perkara 9(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan, “Tiada seorang pun warganegara boleh dibuang negeri dari atau ditahan masuk ke Persekutuan”.

Perkara 9(2) Perlembagaan Persekutuan pula menyatakan “Tertakluk kepada Fasal (3) dan kepada mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, ketenteraman awam, kesihatan awam, atau penghukuman pesalah, tiap-tiap warganegara berhak bergerak dengan bebas di seluruh Persekutuan dan bermastautin di mana-mana bahagiannya.”

Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan menyatakan “semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata”.

Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan “Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya”.

Secara asasnya hak asasi seseorang rakyat itu tidak boleh disekat melainkan ianya dinyatakan secara nyata dalam Perlembagaan. Jika dilihat kepada keseluruhan hak asasi yang dinyatakan ini ternyata Perlembagaan sendiri memberikan ruang kepada pihak pemerintah untuk menyekat hak asasi yang diberikan itu khasnya sekiranya ianya akan menjejaskan ketenteraman awam dan kesihatan awam.

Perkara 9(2) telah menyatakan secara spesifik hal berkaitan sekatan tersebut. Begitu juga dengan Perkara 10(2)(b) menyatakan “hak yang diberikan oleh perenggan (b) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam.” Perkara 11(5) pula menyatakan “Perkara ini tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan yang berlawanan dengan mana-mana undang-undang am yang berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau prinsip moral.”

Justeru, dengan penularan wabak COVID 19 ini tindakan kerajaan yang menyekat dan mengawal pergerakan rakyat adalah tidak bertentangan dengan kerajaan. Sehingga kini nampaknya rakyat faham dengan perintah yang dikeluarkan oleh kerajaan ini meskipun pada peringkat awal ada di kalangan rakyat yang tidak peka dan melanggar perintah ini sehingga pihak polis dan pihak tentera dikerahkan untuk melaksanakan perintah ini.

Inilah antara hak asasi yang tidak dapat dinikmati oleh rakyat sekarang. Kini rakyat sedar bahawa betapa pentingnya untuk meletakkan perlindungan hak asasi ini di dalam Perlembagaan. Ini bermakna kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya menyekat hak asasi itu kecuali ianya benar-benar perlu seperti dalam kes CONVID 19 ini.

Hak asasi itu adalah suatu yang mustahak untuk kehidupan. Apabila hak asasi untuk bergerak dan berhimpun ini disekat bermakna rakyat juga terkesan dengan hak-hak lain termasuk hak untuk mengamalkan agama secara aman. Jika dilihat kepada hak beragama, kebanyakan aktiviti agama adalah melibatkan hak berhimpun seperti perhimpunan untuk solat berjemaah dan solat jumaat. Begitu juga amalan agama lain termasuk agama kristian, hindu atau buddha ianya terbina atas hak untuk berhimpun secara aman.

Diharapkan selepas berlalunya wabak CONVID 19 ini akhirnya rakyat sedar tentang kepentingan untuk melindungi hak asasi ini. Sebelum ini, hak asasi yang sering disekat adalah hak untuk bersuara dan mengeluarkan pendapat. Semasa zaman kerajaan Pakatan Harapan memerintah usaha-usaha telah dibuat untuk memperkuatkan hak untuk bersuara seperti tindakan untuk meminda Akta Hasutan, SOSMA dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.