Malaysia Dateline

Nilai hartanah Kg Sungai Baru patut ikut harga pasaran semasa

AMANAH Wilayah Persekutuan (WP) membidas kenyataan Datuk Seri Najib Razak bahawa kononnya pemilik tanah di Kampung Sungai Baru tidak layak mendapat pampasan mengikut harga pasaran semasa hartanah.

Pengerusinya, Datuk Wira Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata, kenyataan bekas Perdana Menteri itu bahawa Kampung Sungai Baru berada di luar kawasan pentadbiran “Malay Agricultural Settlement” (MAS) adalah satu kenyataan yang sangat dangkal dan tidak berasas sama sekali.

“Umum mengetahui bahawa faktor penentu harga sesuatu hartanah itu bergantung kepada lokasinya yang strategik di samping kemudahan prasarana sedia ada.

“Dalam kes di Kampung Sungai Baru ini, kedudukannya yang paling hampir dan berdekatan dengan KLCC serta kawasan komersial sekitarnya yang dihubungkan dengan laluan Saloma Link sepatutnya dinilai mengikut harga pasaran yang tinggi seperti yang diakui sendiri oleh pemimpin-pemimpin Umno dan bukannya hanya RM400 sekaki persegi,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedudukan Kampung Sungai Baru bahkan di luar kawasan pentadbiran MAS tersebut lebih melayakkannya untuk mendapat nilaian yang tinggi kerana ia tidak tertakluk kepada apa-apa sekatan dalam urusniaga hartanah sepertimana yang ada di bawah Enekmen MAS.

Sehubungan itu, ujarnya, AMANAH WP sekali lagi menggesa supaya kerajaan membatalkan segera tindakan pengambilan tanah di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 yang dikuatkuasakan ke atas penduduk rumah flat dan rumah teres di Sungai Baru kerana ia sangat menyusahkan penduduk yang sedia terbeban dengan situasi pandemik dan ekonomi semasa.

“Sekiranya ia benar-benar tidak dapat dielakkan, AMANAH WP menggesa agar prosiding tanah yang sedang berlangsung sekarang ini ditangguhkan dahulu sehingga satu keputusan yang adil berhubung jumlah pampasan yang munasabah dan setimpal mengikut nilaian pasaran semasa dapat diberikan kepada semua penduduk yang terlibat demi kelangsungan hidup mereka.

“Janganlah undang-undang digunakan untuk menekan dan mengusir orang-orang Melayu di Kampung Sungai Baru dengan pampasan yang sangat tidak adil dan merugikan mereka selama-lamanya,” kata Dr Mohd Hatta lagi.