Nilai jualan perdagangan borong, runcit Jun 2019 naik 5.9 peratus

Nilai jualan perdagangan borong, runcit Jun 2019 naik 5.9 peratus

Nilai jualan perdagangan borong dan runcit Malaysia berkembang 5.9 peratus tahun ke tahun kepada RM112.3 bilion pada Jun 2019, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan hari ini berkata peningkatan itu disumbangkan oleh perdagangan runcit yang menokok 7.7 peratus dipacu oleh penjualan runcit makanan, selain minuman dan tembakau sebanyak 9.2 peratus.

Ini diikuti jualan runcit di kedai khusus yang menjual barangan lain, selain jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang masing-masing mencatatkan 9.1 peratus dan 8.8 peratus.

Bagi perdagangan borong, Mohd Uzir berkata nilai jualan meningkat kepada 6.4 peratus tahun ke tahun, manakala kenderaan bermotor mencatat pertumbuhan negatif 2.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, beliau berkata nilai jualan borong dan runcit menokok 1.4 peratus, manakala dari segi indeks volum, ia mencatat peningkatan 6.4 peratus berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

“Sub-sektor perdagangan runcit mencatat pertumbuhan positif 4.4 peratus bulan ke bulan, manakala perdagangan borong naik 0.6 peratus bulan ke bulan pada Jun 2019. Dalam tempoh sama, kenderaan bermotor merosot 5.4 peratus selepas merekodkan 8.8 peratus pada Mei 2019,” katanya.

Bagi suku kedua 2019, Mohd Uzir dalam kenyataan berasingan berkata, indeks volum perdagangan borong dan runcit berkembang 6.1 peratus kepada 127.8 mata berbanding tempoh yang sama pada 2018, disumbangkan terutamanya oleh pertumbuhan 9.0 peratus dalam perdagangan runcit.

“Dalam tempoh sama, indeks volum kenderaan bermotor dan perdagangan borong masing-masing turut merekodkan peningkatan 4.1 peratus dan 4.0 peratus,” katanya.

— BERNAMA