Malaysia Dateline

Nilai kembali kerjasama dengan PBB, kata Baru Bian kepada komponen GPS

Parti komponen dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang tidak berpuashati dengan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) disaran supaya menilai semula kerjasama itu ekoran tidak mencerminkan kesepakatan antara satu sama lain.

Menurut Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian, pengagihan jawatan Menteri dan Timbalan menteri dalam Kabinet Persekutuan baru-baru ini tidak mencerminkan kerjasama erat antara empat parti GPS iaitu PBB, PRS, SUPP dan PDP.

Katanya, ternyata Ahli-Ahli Parlimen GPS yang memegang jawatan Menteri dan Timbalan Menteri adalah semuanya dari PBB kecuali seorang Timbalan Menteri.

Justeru, jelas beliau, ia adalah sangat jelas bahawa pengagihan kuasa tidak saksama dan adil dalam GPS.

“Ini merupakan masa terbaik bagi parti-parti komponen yang lemah dalam GPS memikirkan dengan serius menilai semula perikatan dengan PBB yang tidak saksama dengan konsep kerjasama yang berat sebelah,” ujar beliau yang juga bekas Menteri Kerja Raya menerusi kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau juga mengecam pemimpin GPS yang didakwanya menafikan mereka adalah sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Sebenarnya GPS tidak boleh ‘berkongsi katil dengan Umno dan Pas namun menegaskan mereka ‘belum berkahwin’.

“Ia situasi yang sangat terang dan jelas untuk rakyat Sarawak memahami bahawa ketika anda menyokong Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan sekarang duduk bersamanya dalam Kabinet yang sama bagi membentuk kerajaan pintu belakang PN, jelas anda adalah salah satu sebagai Kerajaan PN.

“Hakikatnya, anda secara rasmi telah berkahwin dengan semua ahli PN, terutamanya Umno dan PAS yang sebelum ini anda kutuk. Sekarang anda mendakwa anda belum berkahwin atau tidak berkahwin secara rasmi,” tegasnya lagi.