Nilai kerja pembinaan pada 2018 berjumlah RM145.5 bilion

Nilai kerja pembinaan pada 2018 berjumlah RM145.5 bilion

Nilai kerja pembinaan pada 2018 berjumlah RM145.5 bilion, pertumbuhan sebanyak 5.1 peratus, berbanding RM138.5 bilion pada tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata bagi suku keempat 2018, nilai kerja pembinaan mencatatkan pertumbuhan sederhana sebanyak 4.1 peratus tahun ke tahun kepada RM36.5 bilion.

“Peningkatan nilai kerja pembinaan itu didorong oleh pertumbuhan positif dalam kejuruteraan awam, aktiviti pertukangan khas dan subsektor bangunan bukan kediaman, masing-masing meningkat sebanyak 14.3 peratus, 8.2 peratus dan 2.5 peratus.

“Bagaimanapun, subsektor bangunan kediaman merosot kepada 9.2 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, pada suku keempat 2018, subsektor kejuruteraan awam merupakan penyumbang utama kepada nilai kerja pembinaan sebanyak 42.6 peratus, diikuti bangunan bukan kediaman (28.4 peratus), bangunan kediaman (24.2 peratus) dan aktiviti pertukangan khas (4.8 peratus).

Sektor swasta terus memacu pertumbuhan aktiviti pembinaan dengan menyumbang 56.2 peratus (RM20.5 bilion) berbanding sektor awam sebanyak 43.8 peratus (RM16.0 bilion).

— BERNAMA