Malaysia Dateline

Nilai kesetiaan kepada perjanjian

Dalam al-Quran, secara umum, Allah benarkan orang Islam beristerikan Ahli Kitab yakni Yahudi dan Nasrani. Dalam al-Quran juga Allah sebut orang Yahudi dan Nasrani menduakan Allah.

Soal sama ada wujudkah lagi Ahli Kitab pada masa kini, atau Yahudi dan Nasrani yang bagaimana yang dibenar oleh al-Quran untuk diperisterikan, itu debat dalam konteks lain.

Umar pernah tidak benarkan hal itu, itu juga debat dalam konteks lain. Dalam konteks ini, secara umum al-Quran benarkan. Di situ dulu.

Apabila seseorang memperisterikan seorang Ahli Kitab, al-Quran memerintah supaya kasih-sayang dan cinta dicurah setulusnya kepada isteri.

Barulah rumahtangga beroleh sakinah yang menjadi matlamat pembinaan rumahtangga. Kunci kepada kebahagiaan adalah kesetiaan.

Soalannya, apabila seorang suami setia kepada isterinya seorang Ahli Kitab, adakah suami itu dianggap setia kepada kekufuran? Adakah suami dianggap cinta dan sayang kepada kekufuran?

Sudah tentu kesetiaan itu adalah kepada ikatan perkahwinan yang berupa perjanjian untuk merempuh hidup susah senang bersama, biarpun berbeza agama dan kepercayaan.

Suami tidak boleh menzalimi isteri biarpun dia kufur, dan isteri tidak boleh curang kepada suami biarpun berbeza agama. Itulah nilai kesetiaan kepada perjanjian dan harganya dalam kehidupan manusia.

Misalnya jika isteri curang, maka suami boleh merungkai perjanjian melalui sistem talaq, namun kezaliman tidak dibenarkan sama sekali dan semua hak bekas isteri wajib disempurnakan seperti biasa.

Mengkiaskan perjanjian perkahwinan dengan perjanjian politik tentulah agak janggal. Namun setiap perjanjian kata kuncinya ialah setia, tidak boleh curang.

Selama mana satu pihak setia dengan perjanjian, satu pihak lagi tidak boleh mengkhianatinya. Khianat perjanjian walaupun dengan orang kafir adalah suatu kesalahan bahkan suatu dosa.

* Penulis ialah Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH.