Nilai pasaran Arif Aiman melonjak RM2.83 juta, jadi pemain ke-2 termahal di usia 22 tahun

Oleh WAN SITI AMINAH

Pemain sayap sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi kini menjadi bintang bola sepak kedua termahal di Malaysia ketika usianya baru 22 tahun dan masih boleh dianggap muda.

Berdasarkan ‘tanda harga’ baharu yang dikemaskini oleh platform Transfermarkt pada Jumaat lalu, nilai pasaran Aiman kini telah mencecah 600,000 euro atau bersamaan dengan RM2.83 juta.

Nilai pasaran baharu untuk Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2023 (ABK23) itu melonjak berbanding 550,000 euro atau RM2.6 juta pada Disember tahun lalu.

Tanda harga baharu itu sekali gus meletakkan Arif Aiman di tangga kedua dalam senarai pemain Malaysia termahal di belakang kapten Harimau Malaya, Dion Cools yang memiliki nilai pasaran RM3.8 juta.

Difahamkan, peningkatan nilai pasaran Arif Aiman ini dipengaruhi oleh prestasi cemerlang yang ditonjolkannya terutama ketika bersama pasukan JDT di dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).

Pemain kelahiran Kuantan, Pahang itu memperagakan prestasi memberansangkan dalam saingan ACLE musim ini selepas menjaringkan empat gol menerusi empat perlawanan di peringkat Zon Timur.

Jumlah gol diraih dalam perlawanan itu meletakkan Arif di kedudukan ketiga sebagai penjaring terbanyak ACLE memintas banyak nama besar termasuk tonggak kebangsaan Portugal, Cristiano Ronaldo.

Malah tonggak Harimau Malaya itu turut menjadi satu-satunya pemain muda berusia 23 tahun ke bawah yang berada di dalam senarai 10 penjaring terbanyak ACLE ketika ini.

Maka tidak hairanlah jika prestasi Arif Aiman di padang turut menarik perhatian penyokong kelab gergasi Scotland, Rangers FC yang mencadangkan kelab berkenaan menyunting pemain sayap berkenaan.

Baca juga: Wanita gaji RM2.4k miliki hutang ratusan ribu ringgit gara-gara ikut standard gaya hidup M40