Malaysia Dateline

Nilai pelaburan di Kedah RM14.7 bilion tahun lepas

Negeri Kedah mencatatkan nilai pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) berjumlah RM14. 7 bilion pada tahun 2019 dalam pelbagai sektor ekonomi.

Demikian dinyatakan oleh Menteri Besarnya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam satu kenyataannya.

Ujarnya lagi, angka tersebut telah meletakkan negeri Kedah secara keseluruhannya di kedudukan kelima selepas Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur.

“Kedudukan dan angka tersebut telah membuktikan bahawa Kedah masih menjadi pilihan pelabur dalam situasi dunia yang sedang bergelut dengan pertumbuhan ekonomi yang lembab.

“Sejumlah RM11. 5 bilion daripada jumlah tersebut merupakan FDI dan DDI dalam sektor pembuatan dan Kedah mencatatkan jumlah yang sama dengan Johor apabila kedua-dua negeri berada di kedudukan ketiga di belakang Selangor berjumlah RM 17 bilion dan Pulau Pinang pula berjumlah RM16. 9 bilion.

“FDI negeri Kedah diterima dari beberapa buah negara seperti Amerika Syarikat, China, Jerman, Hong Kong dan Taiwan yang melibatkan aktiviti produk elektrik dan elektronik, kertas dan juga aeroangkasa,” tegasnya.

Tambah Mukhriz, pelaburan tersebut telah berjaya menyediakan sebanyak 4800 peluang pekerjaan.

Sehubungan itu katanya, tumpuan yang akan diberi perhatian adalah aktiviti pelaburan yang berimpak tinggi serta dapat memulihkan ekonomi negeri Kedah.