Malaysia Dateline

Nilai penyertaan Bumiputera dalam projek ECRL menghinakan

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan sebak apabila menyentuh mengenai kemiskinan tegar dan jurang pendapatan ketika membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Negara semalam.

Tidak salah beliau dilanda emosi spontan cuma biarlah sekali saja sebab kalau setiap kali membincangkan isu kemiskinan beliau sebak, takut tidak kesudahanlah kesedihan beliau itu kerana isu kemiskinan ini tidak akan hilang dalam sekelip mata biar apa rancangan yang dikemukakan bagi mengatasinya. Sebab itulah kita panggil kemiskinan tegar.

Masalahnya, bukan kita tidak bertimbang rasa, cetek emosi dan kurang merancang. Masalahnya adalah kita banyak bercakap tetapi kurang bertindak. Kerap juga kita cakap lain tapi buat lain kerana agenda peribadi.

Ambil contoh projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) berharga RM50 bilion yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Rakyat Barisan Nasional (Umno) Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman di Parlimen baru-baru ini.

Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong cepat-cepat kata dia akan jawab luar Parlimen. Pasal apa soalan dalam Parlimen nak dijawab luar Parlimen? Sebab takut cetuskan perbahasan hangat.

Kementerian Pengangkutan keluarkan kenyataan media beberapa hari kemudian yang tidak menafikan hujah Tajuddin. Ia sekadar berkata “adalah kurang tepat untuk mengatakan ‘tidak wujud’ penyertaan kontraktor Bumiputera dalam projek ECRL ini.”

Menurut kenyataan itu, sehingga Ogos lalu terdapat 81 syarikat majoriti Bumiputera yang menyertai projek ECRL dengan nilai RM320 juta daripada RM3 bilion yang kononnya dikhaskan kepada Bumiputera. Majoriti Bumiputera boleh 99 peratus dan boleh juga 51 peratus.

Jumlah RM320 juta daripada RM3 bilion baru 10.67 peratus. RM3 bilion daripada RM50 bilion hanyalah enam peratus. Kalau macam ini, macam mana nak capai matlamat 30 peratus penyertaan Bumiputera? Beza 30 peratus dengan enam peratus sangat besar.

Tidak tahulah sama ada Ahli Parlimen, khususnya Bumiputera, puas hati dengan jawapan luar Parlimen oleh Kementerian Pengangkutan itu? Tapi saya rasa Menteri Pengangkutan sedar yang angka-angka ini ciput dan menghina Bumiputera sebab itulah beliau cepat-cepat matikan isu tersebut di Parlimen dan mengeluarkan kenyataan media yang tidak pun memakai namanya.

Sebagai orang Cina yang celik angka dan mahir perniagaan, Wee tahu nilai penyertaan Bumiputera dalam projek raksasa yang dikendalikan oleh kontraktor negara China itu adalah menghinakan (insulting).

Kalau inilah sikap dan tahap kepedulian kerajaan, tidak kiralah kerajaan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) terhadap penyertaan Bumiputera dalam perniagaan, tidak hairanlah matlamat 30 peratus pemilikan ekuiti Bumiputera tidak tercapai malah semakin menguncup.

Projek ECRL bernilai RM50 billion. Kontrak untuk Bumiputera RM3 bilion. Fikirkanlah beza antara enam peratus kontrak untuk Bumiputera dengan matlamat 30 peratus pemilikan saham oleh Bumiputera.

Sampai kucing tumbuh tanduk pun tidak akan tercapai. Jadi, kalau Perdana Menteri hendak sebak, sampai bila-bila pun beliau boleh sebak.