Malaysia Dateline

Nilai sedang dipertimbang jadi stesen ECRL,kata MB

Nilai kini menjadi satu daripada stesen yang sedang dipertimbangkan untuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Negeri Sembilan, selain Kuala Klawang di Jelebu.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata perkara itu dimaklumkan selepas kerajaan negeri mengadakan pertemuan bersama Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) pada 8 Ogos lepas yang turut membentangkan pilihan laluan ECRL terkini merangkumi dua stesen di Negeri Sembilan iaitu Kuala Klawang dan Nilai.

“Kerajaan negeri dimaklumkan sehingga kini jajaran (ECRL) masih belum dimuktamadkan dan perlu dikaji dengan teliti dari pelbagai aspek seperti impak sosial dan persekitaran, impak operasi, tahap perkhidmatan, aspek penyepaduan dan integrasi, kos dan cabaran pelaksanaannya.

“Sehubungan itu, sesi perbincangan pertama berhubung pilihan laluan diadakan bersama MRL pada 8 Ogos lalu. Pilihan laluan terkini yang dibentangkan oleh MRL merangkumi dua stesen di Negeri Sembilan iaitu Kuala Klawang dan Nilai.

“Sesi taklimat laluan terkini akan dibentangkan kepada ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan pada 18 September depan,” katanya ketika menjawab soalan Yap Yew Weng (DAP-Mambau) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Aminuddin yang juga ADUN Sikamat berkata, pembangunan jajaran ECRL akan memberi pelbagai limpahan manfaat terutama dalam peluang pekerjaan yang berkaitan dengan pembinaan dan pengangkutan serta merangsang pertumbuhan ekonomi di Jelebu.

“Persekitaran perniagaan juga akan berubah dengan kehadiran lebih ramai pekerja di kawasan ini. Ia akan membuka peluang kepada ekonomi bersaiz sederhana dan kecil selain meningkatkan lagi permintaan makanan, rumah, kedai runcit dan pengangkutan.

“Selain itu, projek ini mampu menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan di Jelebu dan sekali gus mempromosikan produk ekopelancongan sedia ada seperti Taman Negeri Kenaboi dan Taman Eko Rimba yang lain,” katanya.

Sementara itu, Datuk Seri Mohamad Hassan (BN-Rantau) turut mencadangkan sekiranya sebuah stesen ECRL akan dibina di Nilai, kerajaan negeri akan menjadikan stesen itu sebagai hab pengangkutan bersepadu.

“Kita nak cadangkan kerajaan negeri ambil kira pembangunan Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0) kerana dalam perancangan awal, ada satu stesen Projek Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) yang sudah diluluskan sebagai stesen bertaraf antarabangsa.

“Kita cadangankan (stesen Nilai) dijadikan hab pengangkutan bersepadu dan kalau boleh ECRL disambungkan ke stesen itu bagi memudahkan penumpang dari Pantai Timur untuk terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya.– BERNAMA