Nilai tambah dalam kerangka dasar luar Malaysia Baharu

Tun Mahatahir dikerumini pelbagai pihak sebaik sahaja selesai memberikan ucapan di PBB baru-baru ini. Ia memberikan imej baru kepada Malaysia.

 

Malaysia pasca Mei 2018 telah menyaksikan satu pembaharuan daripada segi landskap politik dan sejarah kenegaraannya. Rata-rata rakyat Malaysia berharap dapat menyaksikan Malaysia sebagai sebuah negara yang demokratik, tidak menindas, memberikan hak yang sewajarnya dan bersikap adil.

Atas inspirasi inilah kerajaan Pakatan Harapan mengorak langkah jitu dalam memperbetulkan sistem dan amalan korupsi yang bejat.

Malah, inspirasi rakyat dan kerajaan pada hari ini turut memberi impak positif negara di mata dunia. Oleh sebab itu, apabila baru-baru ini Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah mengusulkan kerangka dasar luar Malaysia baharu, ia turut memberi nilai tambah bagi kekuatan dan kedaulatan negara di mata masyarakat dunia.

Sekaligus, apabila Malaysia berbicara soal sikap berkecuali, atau neutral, makmur bersama jiran atau ‘prosper thy neighbour’, mengekalkan hubungan baik dengan kuasa besar, serta soal hak Palestin dan Rohingya – Malaysia menyatakan pendirian tanpa rasa takut atau berpihak kepada sesiapa. Malaysia menyatakan pendiriannya di atas posisi sebuah negara toleransi yang demokratik serta negara contoh. Dimana ini ialah situasi sebaliknya ketika zaman kerajaan terdahulu.

Walaupun dasar-dasar di atas telah diamalkan sebelum ini, tetapi pandangan kerajaan terdahulu dilihat tidak kukuh berbanding dengan aura Malaysia Baharu. Mengapa?

Pertama, usul Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah digunakan sebagai kerangka dasar luar negara buat pertama kalinya. Ini juga tidak jauh berbeza berbanding asas-asas yang ditanam oleh China pada tahun 1975, yang turut menggunakan pidatonya di PBB untuk memberi corak yang lebih efektif kepada dasar luar China. Dimana, ketika inilah Deng Xiao Ping memberi keutamaan kepada kepentingan negara-negara dunia ketiga kepada China. Oleh itu, jelas bahawa pentas PBB merupakan laungan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang pertama demi mengangkat semula nama baik Malaysia di mata dunia.

Kedua, posisi Malaysia sebagai masyarakat yang bersatu padu serta toleransi dan demokratik memberi inspirasi kepada dunia. Keadaan ini bukanlah suatu perkara yang mudah. Terutamanya apabila sesebuah negara ditadbir urus oleh satu pihak hampir enam dekad lamanya. Tetapi, rakyat Malaysia bijak dengan tidak menggunakan cara kekerasan untuk menumbangkan kerajaan, tetapi memilih cara demokratik – yang terbukti aman dalam usaha memperbetulkan kepincangan negara.

Oleh itu, apabila banyak negara yang dipimpin diktator, apabila digasak oleh rakyatnya, sering kita lihat peperangan dalaman berlaku. Akhirnya, ia membawa lebih banyak bencana daripada manfaat. Atas sebab ini, tidak pelik jika sikap masyarakat Malaysia diberi pujian oleh dunia.

Ketiga, kepimpinan yang memberi contoh. Tidak dinafikan lagi, bahawa Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad ialah pemimpin yang wajar dicontohi. Daripada lenggok bahasanya, beliau boleh berbicara yang benar, tanpa mengambil kira kepada sesiapa sahaja – termasuk kepada pemimpin kuasa dunia.

Jika diperhatikan, Tun Dr. Mahathir Mohamad boleh berbicara dengan bebas dan beliau kelihatan selesa berkongsi pandangannya tentang politik, ekonomi dan hal ehwal masyarakat tanpa batasan. Ini telah menerima pujian ramai, apabila seseorang yang berkedudukan nombor satu negara berani berbicara. Malah, beliau juga telah menyatakan pendirian tegas dan rasional, dalam hubungan Malaysia dengan kuasa besar. Ini termasuklah berkaitan lawatan beliau ke China dan Amerika Syarikat, dalam menghadiri mesyuarat PBB.

Oleh itu, dalam erti kata lain, usul daripada Menteri Luar Datuk Saifuddin ini, jelas menunjukan bahawa elemen dasar luar bermula dari dalam atau ‘foreign policy begins at home’, dimana Malaysia akan memberi sumbangan demi mencapai keamanan dunia sejagat melalui contoh dalamannya yang bertoleransi, demokratik dan berani untuk berbicara benar tanpa takut atau berpihak.