Malaysia Dateline

‘No PPBM, No Anwar, No DAP’: Pemuda AMANAH seru PH kemuka tawaran baru kepada rakyat

Pemuda AMANAH Nasional menyeru Pakatan Harapan (PH) membina semula kekuatan dan bersiap siaga menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Ketuanya, Taqiuddin Cheman berkata, Majlis Presiden PH yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu segera bertindak susulan pendirian Umno semalam yang menolak kerjasama dengan Bersatu, DAP dan PKR.

Taqiuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang berkata, langkah yang mengikut perkembangan semasa politik tanah air itu penting bagi menarik semula keyakinan rakyat.

“Mesej dan isyarat jelas tanpa selindung daripada pemimpin utama Umno dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) semalam yang menyatakan ‘No PPBM, No Anwar, No DAP” perlu menjadi sempadan untuk PH.

“Pemuda AMANAH berpandangan sekiranya tumpuan tidak diberikan untuk membuat tawaran baru kepada rakyat dalam menangani masalah semasa khususnya dalam hal ekonomi dan pengangguran yang semakin meningkat, PH akan menghadapi risiko penyusutan sokongan untuk berdepan dengan rakyat,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pendirian parti itu menolak sebarang kerjasama dengan PKR, DAP Bersatu pada PRU15.

Zahid ketika dalam ucapan dasar Presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno 2020 (PAU 2020) itu juga mengesahkan setakat ini tiada perbincangan dengan mana-mana parti terbabit sama ada secara rasmi atau tidak rasmi.

Meyakinkan rakyat

Mengulas lanjut, Taqiuddin berpendapat penyesuaian semula untuk membentuk jawatankuasa yang bertindak meneliti dan menyusun cadangan bernas seperti Buku Jingga semasa Pakatan Rakyat harus menjadi keutamaan dalam memandu hala tuju dan menarik perhatian rakyat dalam meraih sokongan.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, rakyat dikhuatiri terus kecewa jika masa yang ada menjelang PRU15 ini lebih ditumpukan kepada melayan kerenah politik yang tidak menemui penyelesaian yang meyakinkan rakyat.

“Pemuda AMANAH bimbang rakyat akan sekali lagi kecewa dengan peristiwa pengkhianatan Langkah Sheraton sehingga tumbangnya Kerajaan Pakatan Harapan yang dipilih rakyat.

“Perlu kita akui bahawa kelemahan-kelemahan yang berlaku dalam PH sebelum ini adalah kelemahan kita bersama dan perlu segera diperbaiki,” katanya.

Sehubungan itu, Taqiuddin yang juga Ketua Pemuda AMANAH Johor berkata, pihaknya yakin tiada mana-mana pihak atau parti yang mempunyai kedudukan selesa untuk menyatakan kemenangan akan berpihak kepada mereka.

Sebaliknya, beliau menyifatkan kestabilan, kesatuan, kesungguhan dan keikhlasan berkhidmat kepada rakyat bakal menentukan siapa yang bakal menerajui Putrajaya.