Malaysia Dateline

Noh Omar bersuara selepas rumah di pekarangan masjid diroboh, tawar rumah ganti

Tindakan Pejabat Tanah dan Daerah Petaling dan MBSA merobohkan rumah sebelum keluarga berpindah dikritik Umno Selangor.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Petaling serta kerajaan Selangor sepatutnya lebih bertimbang rasa sebelum meroboh struktur di atas tanah kerajaan negeri, khususnya melibatkan kediaman.

Bercakap kepada pemberita di Petaling Jaya semalam, beliau berkata sewajarnya keluarga yang terlibat ditawarkan berpindah ke rumah baharu dahulu sebelum kediaman mereka dirobohkan dan pihaknya bersedia menawarkan rumah lain sekiranya kerajaan Selangor tidak mampu berbuat demikian.

Noh yang juga Anggota Parlimen Tanjong Karang diminta mengulas mengenai perobohan tiga rumah dan dua kedai di perkarangan masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz di Subang, Selangor, kelmarin.

Mengulas lanjut, beliau berkata kementeriannya bersedia menawarkan dua keluarga yang terjejas untuk tinggal di Projek Perumahan Rakyat Lembah Subang 2 menerusi Anggota Dewan Undangan Kota Damansara Halimaton Saadiah Bohan.

Sementara itu, saya minta pihak berkuasa tempatan jangan robohkan dulu hingga mereka berpindah.

Tetapi saya amat terkejut, macam mana rumah itu sudah dirobohkan sebelum keluarga terbabit mendapat rumah baharu, katanya yang ditemui selepas merasmikan Sidang Kemuncak Hartanah & Perumahan Negara ke-20 bertemakan ‘Keadaan Industri Hartanah & Perumahan – Di Mana Hala Tuju Kita Dari Sini’.

Kelmarin, sembilan lelaki, terdiri daripada penghuni serta aktivis sebuah parti politik, ditahan kerana cuba menghalang kerja-kerja meroboh struktur yang didirikan di atas tanah terbabit.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din dilaporkan berkata kesemua mereka berusia 25 hingga 45 tahun ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana cuba menghalang tugas penjawat awam.

Mengulas lanjut, Noh yang juga Pengerusi Barisan Nasional negeri, berkata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sepatutnya lebih bertanggungjawab daalam menghalang tindakan meroboh itu kerana PTD diletakkan di bawah tadbir urus kerajaan negeri.

Noh juga mempertikaikan kuasa Mohamed Azmin selaku Menteri Besar kerana seolah-olah ada pihak lain termasuk dalam pihak berkuasa tempatan yang kelihatan lebih berkuasa dalam membuat keputusan melibatkan orang ramai berbanding beliau.