Malaysia Dateline

Noh Omar nafi sokong PN, senarai Ismail Sabri kurang satu

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar menafikan beliau menandatangani surat akuan yang menyokong Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin seperti yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Pengerusi Perhubungan Umno Selangor itu berkata, tandatangannya dalam senarai kehadiran yang ketika ini tular di media sosial, sama sekali bukan bagi menyokong Mahiaddin.

Sebaliknya ianya hanyalah untuk mengesahkan kehadiran pada mesyuarat melibatkan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), dan tidak lebih daripada itu.

“Saya lihat di laporan media, tidak berapa tepat. Pagi tadi saya dipanggil dalam perjumpaan dengan Ahli Parlimen dan semasa dalam kehadiran itu memang saya ada tandatangan kehadiran perjumpaan tersebut.

“Saya nak tegaskan senarai tandatangan kehadiran yang tersebar dalam media sosial itu hanya tandatangan kehadiran mesyuarat bukan memberikan sokongan,” katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Umno sebentar tadi.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan bahawa seramai 31 Ahli Parlimen BN menyokong kerajaan Perikatan Nasional sehingga Parlimen bersidang September ini.

Bagaimanapun dalam sidang media berkenaan, Noh Omar tidak kelihatan berada di atas pentas bersama-sama Ismail.