Noh Salleh mohon maaf dedah wajah anak angkat, hormati permohonan ibu kandung

Oleh MAISARAH AISYA

Timbul isu beberapa hari ini melibatkan ibu kandung kepada anak angkat Noh Salleh dan Mizz Nina yang tidak berpuas muka anaknya didedahkan kepada umum.

Noh sebelum ini mendedahkan wajah anaknya pertama kali pada Disember tahun lepas dalam hantaran di Instagram untuk meluahkan rasa rindu terhadap Musa.

Namun dia mengaku tidak tahu akan perjanjian yang dibuat antara ibu kandung dan bekas isterinya di mana mereka dilarang memuat naik gambar Musa ke media sosial.

Noh dalam hantaran terbaru di Instagram membuat permohonan maaf secara terbuka kepada ibu kandung Musa.

“Saya tidak tahu menahu akan perjanjian yang dibuat oleh pihak ibu kandung dan pihak bekas isteri saya, Mizz Nina di mana kami dilarang untuk memuat naik gambar muka Musa di mana-mana platform.

“Oleh itu, saya, Mohammad Noh bin Salleh ingin memohon maaf secara terbuka kepada ibu kandung Musa.

“Saya akan turuti tuntutan beliau untuk tidak memuat naik gambar muka Musa lagi dan akan memadam gambar2 yang mengandungi muka Musa di laman sosial saya,” ujarnya di Instagram.

Pada masa sama, Noh menjelaskan bahawa gambar dimuat naik adalah kerana faktor rindu akan anak angkatnya itu.

“Saya hanya berbuat demikian kerana terlalu rindukan Musa.

“Ingin saya jelaskan sekali lagi bahawa Musa bukan berada di bawaah jagaan saya pada waktu ini dan telah pun saya serahkan kepada pihak Mizz Nina seperti mana yang telah saya jelaskan sebelum ini,” tambahnya.

Tiada isu manipulasi

Noh menegaskan tidak timbul isu manipulasi kerana ada persetujuan telah pun dicapai dengan pihak ibu kandung yang memberi penjagaan Musa tanpa paksaan.

“Bagi isu manipulasi pula, perkara tersebut adalah tidak benar di mana persetujuan telah pun dicapai dengan pihak ibu kandung di mana beliau telah pun bersetuju untuk memberi penjagaan Musa kepada saya secara sedar dan tanpa paksaan dari mana-mana pihak.

“Beliau tidak ada mengenakan apa-apa syarat tentang memuat naik gambar muka Musa.

“Akan tetapi saya faham akan kedudukan beliau sebagai ibu kandung Musa di mana beliau mempunyai hak sepenuhnya ke atas perkembangan Musa dan saya hormati keputusan beliau pada waktu ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Noh turut memaklumkan sudah pun mendapat perintah untuk hadir ke Mahkamah Syariah Shah Alam pada 5 Februari ini bagi proses Sulh dan 6 Februari untuk perbicaraan.

Baca juga: “Hancur hati saya” – Noh Salleh maklum Musa diambil semula oleh Mizz Nina